Rabu, 6 Julai 2011

Soal Jawab tentang Solat Jamak dan Qasar

Perihal Solat Jama’ & Qasar
 
Zaharuddin Abd Rahman
Soalan 
Assalamualaikum ustaz, saya sering balik kampung dan berjalan jauh. Saya mengetahui ketika musafir kita boleh menjamakkan solat, tetapi lantaran kurangnya ilmu tentang hal itu membuatkan saya tidak yakin untuk melaksanakan solat tersebut. Saya hanya mengqada solat setelah sampai ke destinasi. Banyak perkara yang mengelirukan saya. Misalnya kita tidak boleh menjamakkan solat sekiranya akan mendiami destinasi tersebut lebih dari tiga hari. Kita juga tidak boleh menjamakkan solat sekiranya destinasi tersebut adalah kampung halaman kita.
Namun ada yang mengatakan kita boleh menjamakkan solat kerana ia bukan bergantung pada destinasi yang akan kita pergi, tetapi ia bergantung pada tempat di mana kita menjamakkan solat. Contohnya, di pertengahan jalan, kita terhenti, kita tidak berada di situ lebih dari tiga hari dan tempat itu bukan kampung halaman kita.
Oleh itu saya amat berharap ustaz dapat menerangkan tentang solat jamak dan qasar, syarat-syaratnya dan cara mendirikannya, agar saya dapat mempraktikkannya kelak.
- Hayati, Sg Besi.

Jawapan
wa’alaikumussalam
Saudari sepatutnya menjama’kan sahaja solat, qadha solat adalah sesuatu yang amat kurang baik untuk diamalkan. Qadha solat juga hanya wujud apabila seseorang tertinggal kerana uzur seperti tertidur dan yang seumpamanya. Sebarang tindakan meninggalkan solat secara sengaja adalah mengundang dosa walaupun qadha dilakukan.
Berikut pula syarat untuk men”qasar”kan solat menurut mazhab Syafie (Rujuk Mughni al-Muhtaj, 1/359-365) :-
i. Hanya tertakluk kepada keadaan bermusafir dengan jarak melebihi 85 KM.
ii. Hanya boleh di qasar apabila telah melepasi sempadan kampung atau taman perumahannya.
iii. Mengetahui destinasinya dan ia tidak bertujuan maksiat. iv. Tidak berimamkan orang yang menunaikan solat penuh (4 rakaat).
v. Berniat qasar semasa takbiratul ihram solatnya.
vi. Mestilah solat qasar itu dilakukan dalam keadaan bermusafir dari awal hingga akhirnya.
vii. Jika ia berniat (semasa bertolak) untuk duduk di sesuatu destinasi lebih dari tiga hari (tidak termasuk hari sampai dan pulang), maka ia tidak berhak untuk melakukan qasar solat, sejurus sampainya ia ke destinasi itu. Jika ia tidak berniat lebih dari tiga hari atau langsung tidak punyai niat berapa hari, kiraan 3 hari adalah tidak termasuk hari sampai dan hari pulang. Dalam tempoh itu, ia boleh menqasarkannya jika tiada niat 3 hari.


Solat jama’ pula semua syaratnya sama dengan solat qasar. Berikut maklumat beberapa maklumat tentang jama’ solat :-


i. Jama’ tidak hanya tertakluk kepada keadaan musafir, terdapat keadaan sukar yang lain seperti hujan terlampau lebat, salji, keadaan merbahaya di luar, sakit (mazhab Syafie tidak membenarkan jamak kerana sakit tetapi harus menurut mazhab Maliki dan Hanbali, Rujuk Ikhtilaf Aimmah al-Ulama, Ibn Hubayrah, 1/150), semasa Haji, itulah beberapa contoh keadaan yang di benarkan untuk di jama’ kan solat. (Rujuk Al-Fiqh Al-Islami Wa Adillatuhu, 2/1375)


ii. Solat jama’ boleh dilakukan dalam dua bentuk :-

Pertama : Jamak Taqdim


Ertinya : Di gabungkan dua solat dalam waktu solat yang pertama seperti zohor dan asar di dalam waktu zohor, atau maghrib dan isyak di dalam waktu maghrib. Ia berdasarkan hadith  shohih dari Muadz Bin Jabal riwayat Ahmad, Tirmidzi Ibn Hibban dan lain-lain.

Syaratnya :

1)      Solat dilakukan menurut tertibnya atau yang awal terlebih dahulu (zohor dahulu dan asar di kemudiannya, maghrib dahulu dan isyak di kemudiankan), jika tidak maka batal solatnya menurut mazhab Syafie. (Rujuk Mughni al-Muhtaj, 1/371 )

2) Berniat jamak ketika solat pertama dilakukan, dan harus juga berniat jamak walaupun solat telah bermula. Lafaz niatnya tidaklah perlu di baca dalam bahasa arab, dalam bahasa melayu juga di benarkan. Tetapi perlu ingat lafaz niat bukannya niat tetapi hanya sebagai pembantu agar niat boleh hadir dengan lebih mudah. Lazfa niat ini adalah saranan mazhab Syafie sahaja, manakala Rasulullah SAW sendiri tidak pernah melakukannya, justeru jika mampu menghadirkan niat di dalam hati tanpa berlafaz, itu yang terbaik.

3) Mestilah berturut-turut (Muwalat); Pastikan jangan terdapat pemisahan yang agak panjang atau urusan lain di tengah-tengah kedua-dua solat.

Kedua : Jamak Takhir


Ertinya : Menggabungkan dua solat dalam satu waktu, iaitu waktu solat yang terkemudian. (seperti zohor dan asar di tunaikan dalam waktu asar).
Ia dibenarkan syarak berdasarkan hadith yang shohih dari Anas dan Ibn Umar yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari dan Muslim. (Rujuk Naylul Awtar, 3/212)
Syarat-syaratnya :
1) Niat Takhir sebelum habisnya waktu solat pertama (iaitu niat dilewatkan solat pertama untuk digabungkan dalam waktu asar atau isyak)
2) Berterusan dalam keadaan musafir sehingga tamat solat yang kedua.
Soalan saudari tentang tidak boleh jamak sekiranya destinasi perjalanan itu adalah kampung halaman sendiri adalah seperti berikut (Rujuk Al-Fiqh Al-Islami Wa Adillatuhu, 2/1362 cet 4, dar Al-Fikr):-
a- Seseorang yang kerja di KL, manakala kampung kelahirannya di Batu Pahat, Johor atau mana-mana jarak yang melebihi 85 KM. Apabila ia sampai ke kampong asalnya ( ibu bapanya juga di sana) ia tidak boleh lagi menqasarkan solat kerana ia tidak dikira bermusafir lagi apabila telah sampai ke kampung walaupun berniat duduk kurang dari 3 hari.
b- Seseorang yang kampung kelahirannya di Perak, dan ia kerja di KL dan kampung isterinya di Johor. Apabila ia balik ke kampung isterinya, juga tidak boleh qasar apabila telah sampai. Bagaimanapun terdapat pandangan mengatakan si suami berhak menjamak dan qasar kerana ia bukan tempat tinggalnya. Bagi saya, kelaur dari yang khilaf adalah lebih baik dalam hal ini.
c- Sekiranya ia dalam perjalanan balik dari kampung Johor atau Peraknya ke KL, ia juga tidak boleh meng”qasar”kan solat apabila telah sampai ke rumahnya di KL
Adapun kenyataan saudari “tidak berada lebih tiga hari di sesuatu tempat perhentian” adalah syarat untuk qasar sahaja. Adapun solat jamak, maka ia masih di bolehkan jika terdapat sebab-sebab yang di sebutkan di atas. 

Sumber oleh : Ust  Dr Zaharuddin Abd Rahman

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Blogroll

Anda Pengunjung ke

View My Stats

Site Info

Text

Misri Hj Bohari Blog Copyright © 2009 WoodMag is Designed by Ipietoon for Free Blogger Template