Rabu, 27 Julai 2011

Pembelajaran Aktif dalam Pendidikan Moral: Inovasi dan Kreativiti Guru

Pengenalan
Pembelajaran aktif bukanlah satu idea yang baru. Sejak zaman Socrates lagi pembelajaran aktif sudah dipraktikkan. Pendidik progresif seperti John Dewey menekankan kepentingan pembelajaran aktif. Pembelajaran aktif merupakan satu pendekatan pengajaran dan pembelajaran yang semakin popular dalam era ini. Guru digalakkan beralih daripada pengajaran pasif ke pengajaran aktif  dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Tetapi guru perlu ada inovasi dan kreativiti dalam imaginasi mereka sama ada di dalam atau di luar bilik darjah untuk melaksanakan satu set aktiviti pembelajaran aktif.

Apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan pembelajaran aktif?
Pembelajaran aktif merujuk kepada pendekatan di mana murid berinteraksi dengan bahan pengajaran. Murid melakukan sesuatu yang termasuk mengenali, memproses and mengaplikasi informasi (nilai) yang diterima. Menurut Meyers dan Jones (1993), pembelajaran aktif berasal daripada dua andaian: (1) pembelajaran pada hakikatnya adalah satu aktiviti yang aktif dan (2) murid yang berlainan mempunyai cara belajar yang berbeza.
Pembelajaran aktif menjadi realisasi apabila murid diberikan peluang untuk berinteraktif dengan apa yang dipelajari. Ini sebenarnya menggalakkan mereka memahami dan mengembangkan pengetahuan dan bukan menerima pengetahuan secara pasif. Dalam persekitaran pembelajaran aktif, guru mengambil posisi fasilitator dan bukan setakat penyampai ilmu sahaja.

Mengapakah pembelajaran aktif diberikan keutamaan?
Kajian telah menunjukkan bahawa pembelajaran aktif merupakan satu pendekatan yang efektif. Tidak kira apa mata pelajaran yang diajar, pembelajaran aktif membolehkan murid mempelajari lebih banyak perkara, menyimpan informasi lebih lama and berasa seronok dalam bilik darjah. Pembelajaran aktif menggalakkan murid mempelajari daripada guru dan murid lain dibandingkan dengan cara tradisional yang melibatkan murid itu sendiri sahaja. Kajian juga telah menunjukkan bahawa penglibatan pasif secara umumnya membawa kepada retensi pengetahuan yang terhad seperti yang ditunjukkan di bawah:


Kon Pembelajaran


Bagaimanakah menyerap pembelajaran aktif dalam pengajaran anda?
Menggunakan pembelajaran aktif boleh menjadi satu cabaran kepada guru dan murid yang tidak biasa dengan pendekatan tersebut. Guru sebagai fasilitator menyerahkan sebahagian daripada kuasa mengawal kelas kepada murid dan murid pula memikul tanggungjawab bukan hanya untuk apa yang dipelajari tetapi juga cara mempelajari sesuatu yang diajar. Berikut adalah beberapa teknik umum untuk memberikan peluang kepada murid untuk terlibat secara aktif dalam pembelajaran mereka:

Think-pair-share ialah aktiviti mudah yang boleh digunakan dalam kelas. Berikan masa untuk murid memikirkan tentang sesuatu topik, minta mereka berbincang dengan kawan di sebelah dan kemudian berkongsi hasil perbincangan tadi dengan seluruh kelas.

Minute Papers memberi peluang kepada murid untuk sintesis pengetahuan mereka dan menanya soalan kepada isu yang tidak terjawab. Berikan murid beberapa minit untuk menjawab soalan berikut secara bertulis ataupun lisan: Apakah perkara yang paling penting yang kamu pelajari hari ini? Apa yang kamu kurang faham? Pelbagaikan soalan sebegini dan respon murid akan mengukuhkan proses pembelajaran mereka dan memberikan kamu feedback/maklum balas tentang pemahaman murid.

Brainstorming ialah satu lagi teknik mudah yang melibatkan seluruh kelas dalam sesuatu perbincangan. Perkenalkan apa yang perlu dipelajari dan minta input daripada murid yang akan anda catat atas papan hitam.

Permainan yang berkaitan dengan Pendidikan Moral mudah diserapkan dalam pengajaran dan pembelajaran untuk menggalakkan pembelajaran aktif dan penglibatan murid. Permainan berbentuk padankan, pertandingan, permainan board, menyelesaikan puzzle dan sebagainya boleh digunakan.

Kerja kumpulan membenarkan setiap ahli kumpulan bersuara, berkongsi pendapat dan mengembangkan kemahiran untuk bekerjasama dengan orang lain untuk menyiapkan sesuatu tugasan. Kerja kumpulan koperatif menghendaki semua ahli kumpulan bekerjasama untuk menyiapkan sesuatu tugasan yang diberikan.

Perbahasan di kelas merupakan satu perkakas efektif yang boleh menggalakkan murid memikirkan pelbagai perspektif sesuatu isu.

Kajian kes menggunakan kisah sebenar yang menerangkan apa berlaku dalam sesuatu masyarakat, keluarga, sekolah atau individu akan menggalakkan murid mengintegrasikan pengetahuan yang diperolehi dalam bilik darjah dengan pengetahuan kehidupan sebenar, tindakan dan akibat sesuatu tindakan.


Kebaikan menggunakan pembelajaran aktif and keberkesanannya:
Murid secara individu mungkin akan berhadapan dengan sesuatu masalah dan putus asa tetapi secara berkumpulan, murid akan membantu antara satu sama lain. Dalam pembelajaran aktif, murid akan terdedah kepada pelbagai strategi penyelesaian masalah. Mereka akan berani mencuba strategi tersebut dalam keadaan “power sharing” dan “empowerment”. Murid lebih yakin dalam menjawab soalan atau berdialog dengan guru secara berkumpulan. Secara umumnya, murid belajar secara efektif dan interaktif apabila mereka mengajar antara satu sama lain.

Apakah ciri-ciri pembelajaran aktif?
Arahan berpusatkan murid
Minat, motivasi dan kekuatan murid perlu dipertimbangkan apabila guru Pendidikan Moral merancang aktiviti kelas. Guru perlu sensitif terhadap latar belakang murid dan kreatif dalam menggunakan pengetahuan sedia ada murid untuk menjadikan pengajaran dan pembelajaran berpusatkan murid.

Komuniti diskusi
Murid mempunyai banyak peluang untuk kolaborasi and bertukar idea antara satu sama lain (murid dengan murid, murid dengan guru, murid dengan warga sekolah). Peluang untuk melibatkan diri dalam proses pengajaran dan pembelajaran dikonstruk dengan pembelajaran melalui interaksi dengan lain secara inovatif agar pembelajaran menyeronokkan dan memotivasikan murid.

Refleksi
Pembelajaran aktif diimbangkan dengan refleksi. Murid perlu ada masa dan peluang untuk membuat refleksi atas maklumat yang diterima semasa sesi pengajaran dan pembelajaran. Refleksi ini boleh dibantu melalui kolaborasi dengan murid dan guru yang akan membawanya ke tahap equilibrium. Untuk sampai ke tahap pemahaman nilai atau konsep yang diajar, murid terpaksa melalui satu proses yang mencabar dan memerlukan refleksi yang serius. Guru yang kreatif dan inovatif boleh membantu murid membuat refleksi dengan pelbagai cara.

Berkongsi tanggungjawab dalam proses pembelajaran
Pembelajaran menjadi bermakna apabila murid bertanggungjawab terhadap pembelajarannya sendiri. Guru boleh membantu murid mencapai tahap tersebut dengan memberi bimbingan dalam bertindak dan berinteraksi dengan pembelajaran sendiri.

Kesalahan sebagai perkakas untuk pembelajaran
Menurut Brooks & Brooks (1993), kesalahan adalah satu komponen konflik kognitif dan perkembangan. Ianya merupakan langkah semula jadi untuk pemahaman yang baru. Apabila kesalahan dipandang daripada perspektif positif, murid tidak akan takut membuat kesalahan atau mengambil risiko apabila melaksanakan sesuatu aktiviti.

Penilaian autentik
Dalam Pendidikan Moral, murid dinilai melalui pelbagai cara. Melalui pembelajaran aktif, tanggungjawab untuk menilai juga dikongsi bersama murid. Misalnya, penilaian diri dan penilaian rakan sebaya membantu murid menilai pengetahuan dan pemahaman murid yang menjadikan pengajaran lebih bermakna.

Peranan guru sebagai fasilitator
Murid belajar melalui pelbagai cara. Seorang guru yang kreatif akan membantu mengembangkan pemikiran kritikal murid. Guru akan menjadi fasilitator yang membantu murid menyelesaikan masalah dan membawa makna kepada pengajarannya daripada hanya setakat menyampaikan ilmu. Tidak ada satu cara mutlak atau pengajaran yang membantu semua murid belajar. Oleh itu, guru Pendidikan Moral perlulah menggunakan pengetahuan, kemahiran dan kreativiti masing-masing untuk memimpin dan menyokong pembelajaran murid mereka.

Menggunakan masalah autentik
Penggunaan masalah autentik seperti kajian kes adalah satu perkakas pembelajaran yang efektif. Apabila berhadapan dengan situasi kehidupan sebenar yang tidak mempunyai satu cara penyelesaian yang mutlak, murid perlu menggunakan kemahiran berfikir secara kritikal. Kemahiran tersebut akan mendalam apabila guru mengaitkan pengalaman dan pengetahuan sedia ada murid dengan nilai atau konsep yang diajar.

Peranan guru Pendidikan Moral dalam KSSR
Sebagai guru yang perlu mengajar tiga domain (penaakulan moral, perasaan moral, tingkah laku moral), guru berhadapan dengan cabaran yang agak kompleks dalam penyediaan aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Perhatian perlu diberikan terhadap aktiviti yang akan membantu meningkatkan tanggungjawab murid dalam pembelajaran mereka. Guru juga perlu membantu murid dengan menyediakan garis panduan bagaimana mereka bekerja dalam kumpulan atau melaksanakan aktiviti kolaborasi. Guru menyediakan peluang untuk komunikasi yang akan memberi kesan kepada murid dari aspek berkongsi idea, melaksanakan aktiviti dan mencapai kata sepakat. Tahap penglibatan murid secara aktif juga bergantung kepada jumlah masa dan tahap kedalaman dalam penglibatan murid semasa proses pengajaran dan pembelajaran.

Dr. Vishalache Balakrishnan

Jabatan Asas Pendidikan dan Kemanusiaan
Universiti Malaya
visha@um.edu.my

Rujukan

Brooks, J.G. & Brooks, M.G. (1993). In search of understanding: The case for constructivist classrooms. Alexandria, VA: Association for Supervision and Curriculum Development.
Dale, E. (1969). Audio-visual methods in teaching. New York: Holt, Rinehart and Winston.
Meyers, C. & Jones, T. (1993). Promoting active learning: Strategies for the college classroom. San Francisco, CA: Jossey-Bass.



0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Blogroll

Anda Pengunjung ke

View My Stats

Site Info

Text

Misri Hj Bohari Blog Copyright © 2009 WoodMag is Designed by Ipietoon for Free Blogger Template