Jumaat, 1 Julai 2011

Kuliah Maghrib : Masjid Ar-Rahim; Empat soalan ditanya pada hari Kiamat

Kuliah Maghrib Kitab Mustika Hadis (m/s 360) Hadis k3 105

105 : Rasulullah saw bersabda, seperti yang diceritakan oleh Abi Barzah Nadhlah ‘Ubayd al-Aslamiy, yang bermaksud: “Tidak akan berganjak dua tapak kaki manusia pada hari kiamat sehingga dia disoal terhadap empat perkara. Mengenai umurnya, di manakah dihabiskan umurnya? Mengenai ilmunya, apakah yang sudah dilakukan dengan ilmunya? Mengenai hartanya, dari sumber manakah dia peroleh dan ke manakah dia belanjakan? Dan tubuh badannya, apakah yang sudah dia perbuat?” (Hadis riwayat at-Tirmidzi (hadis ini bertaraf hasan sahih)

Rasulullah dalam hadis itu mengingatkan umat Islam bahawa, di hadapan mahkamah pengadilan Allah, setiap daripada kita akan ditanya empat perkara, iaitu umur, ilmu, harta dan tubuh badannya. Dan kita tidak akan dapat berganjak, selagi tidak menjelaskan setiap persoalan itu.

Pertama, mengenai umur. Nikmat umur yang dikurniakan Allah selama puluhan tahun, di manakah kita menghabiskannya? Katakan umur ketika hidup di dunia 70 tahun, berapa tahunkah yang diperuntukkan untuk melaksanakan amal salih bagi mengaut ganjaran pahala? Bagaimanakah, nasib kita sekiranya umur itu lebih banyak dibazirkan untuk berbuat maksiat dan dosa, sedangkan umur yang digunakan untuk beramal ibadat hanya sekitar 10 tahun? Itu pun selepas berada pada penghujung usia yang senja.

Ke manakah perginya baki 60 tahun umur kita itu? Adakah kita yakin akan dapat mengecapi nikmat syurga dengan nilai pahala selama 10 tahun, sedangkan longgokan dosa yang kita kumpul selama 60 tahun pula begitu tinggi?

Kedua, mengenai ilmu. Bagaimana jawaban kita jika ditanya mengenai ilmu? Apakah tanggungjawab terhadap ilmu yang kita miliki sudah kita tunaikan? Banyak ilmu yang kita tahu, tetapi adakah ia diamalkan?

Kita tahu membezakan perbuatan baik dan buruk, tetapi mengapa kita masih berminat dengan sifat mazmumah (keji)? Kita ada ilmu tetapi mengapa tidak mendidik, membimbing, menegur atau menasihati orang lain apabila melihat mereka berbuat kemungkaran? Mengapa kita tidak menyebarkan kepada orang lain sesuatu ilmu yang kita ketahui?

Ketiga, kita juga akan disoal mengenai harta benda yang kita miliki. Dari sumber manakah kita peroleh harta itu? Adakah daripada punca yang halal atau haram? Ke jalan manakah pula kita belanjakan harta itu? Ke jalan kebajikan atau kemungkaran?

Rasulullah bersabda, maksudnya: “Setiap daging yang tumbuh dari sumber yang haram, maka api neraka yang lebih layak baginya.”

Akhirnya, kita akan ditanya mengenai jasad atau tubuh badan kita. Apakah yang kita lakukan dengan tubuh yang sihat dan kuat ini? Adakah kita mensyukuri mata, telinga, mulut, tangan, kaki dan anggota badan yang lain dan menggunakannya ke jalan yang diredai Allah? Atau kita ingkar nikmat pancaindera itu dan reda dimurkai-Nya?

Itulah empat soalan yang bakal dihadapkan kepada kita untuk dijawab, berdasarkan amalan kita. Semoga kita berjaya menjawabnya dengan bantuan amal salih, keikhlasan ibadat, dan sedekah jariah di dunia.

Justeru, marilah kita lakukan muhasabah diri supaya kita tergolong ke dalam kumpulan yang berjaya melalui ujian itu.



Dalam sebuah hadith disebut “Sesungguhnya kebaikan menambahkan umur dan kejahatan mengurangkan umur“. Di dalam hadith yang lai pula “Sesiapa yang ingin diperluaskan rezeki dan dipanjangkan umurnya, maka hendaklah ia menghubungkan silaturrahim” (Riwayat Bukhari)
Dari Anas bin Malik r.a., bahawa Rasulullah s.a.w, bersabda: “Anak Adam membesar dan turut membesar bersamanya dua perkara: Sayangkan harta dan inginkan panjang umurnya. (Bukhari).
Dalam satu hadis yang lain pula, manusia akan ditanya tentang umurnya:
Dari Abi Barzah al-Aslami, r.a, dari Nabi s.a.w, sabdanya : “Tidak berganjak kedua kaki seseorang dari tempat berdirinya di mahkamah Tuhan pada hari kiamat sehingga ia disoal tentang umurnya pada perkara apakah ia dihabiskan.

Imam At Tirmidziy meriwayatkan dari sahabat Abdullah bin Busr, beliau berkata: Seorang a’robiy bertanya kepada Rasulullah: “Wahai Rasulullah siapakah orang yang terbaik? Rasulullah saw menjawab: “Orang yang panjang umur dan baik amalannya”.
Sabda Rasulullah SAW : “Sebaik-baik amalan itu ialah bahawa kamu berpisah dengan dunia ini sedangkan lidahmu basah berzikir kepada Allah.” (Hadis Riwayat Abu Na’im). Allah ambil kira amalan terakhir kita sebelum meninggal, dalam hadith disebut “innamal a’malu bil khowatim”… Sesungguhnya amalan-amalan itu terletak pada penghabisan (umur)nya (Hadis Riwayat Bukhari).
Allah sengaja panjangkan umur orang kafir seperti pemancing ikan yang beri umpan kepada ikan. Dibiarkan ikan itu makan umpan sehingga penat ikan itu, barulah ditarik ikan itu ke atas. Sengaja Allah beri kesihatan dan kemewahan kepada mereka kerana azab menanti mereka.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Blogroll

Anda Pengunjung ke

View My Stats

Site Info

Text

Misri Hj Bohari Blog Copyright © 2009 WoodMag is Designed by Ipietoon for Free Blogger Template