Isnin, 18 November 2013

TITAS 2 : KONSEP ASAS TAMADUN ISLAM



SINOPSIS

Unit  ini  mengandungi  lima tajuk:

Tajuk 2.1:  Pengertian Tamadun  Islam .
Tajuk 2.2: Ciri-ciri tamadun Islam
Tajuk 2.3: Matlamat tamadun Islam
Tajuk 2.4: Prinsip-prinsip tamadun Islam
Tajuk 2.5 : Sumber-sumber tamadun Islam

HASIL PEMBELAJARAN

Pada akhir tajuk ini peserta dapat:

1. Menerangkan  konsep tamadun Islam serta perbezaannya dengan tamadun barat.

2. Menyatakan ciri-ciri tamadun Islam

3. Menerangkan  Matlamat tamadun Islam.

4. Menyenaraikan prinsip-prinsip tamadun Islam.

5. Menjelaskan sumber  tamadun Islam yang terdiri daripada wahyu dan akal.



 
Tajuk 2.1:  Pengertian Tamadun  Islam .

Tamadun dari segi bahasa:

Tamadun berasal dari perkataan Arab “maddana,  yamuddunu, madinatan” Madani adalah sifat nama yang membawa  yang membawa erti sifat pembangunaan, atau perbandaran serta keadaan budi bahasa yang terpuji. Ini bererti pembangunan sifat kekotaan dan insaniah di dalam diri. Lawan kepada sifat tersebut ialah “Badw” yang bererti kehidupan badwi. Nama Kota Madinah kepada suatu tempat yang dahuldinamakan Yathrib. Perkataan-perkataan lain yang biasa digunakan dalam bahasa Arab ialah thaqafah, madaniyat, umran dan hadharah


Madaniyat
dalam Bahasa Arab bermaksud kota-kota.  Profesor Madya Dr. Lutfi Ibrahim menyatakan bahawa madaniyat ialah kemajuan yang dicapai oleh satu-satu bangsa di dalam membangun dan memodenkan diri mereka agar dapat duduk di tahap yang lebih tinggi. Iaitu pencapaian dari segi kebendaan seperti alat teknologi dalam pertanian, pengeluaran, pengangkutan dan sebagainya, seni bina dan lain-lain lagi. Ia merupakan hubungan dengan alam sekitarnya yang bersifat kebendaan. Ia juga bersumberkan wahyu. Abu Nasir al-Farabi ( abad 11M ) telah memperkenalkan istilah al-madaniyat dalam kitabnya, Al-Siasah Al-Madaniyat yang membawa maksud kota, kehidupan yang berasaskan akidah, syarak dan akhlak. Istilah ini juga digunakan oleh Muhammad Farid Wajdi dalam kitabnya Al-Madaniyat wa al-Islam ( abad 20M ). Dan juga digunakan oleh Syeikh Muhammad Abduh di dalam risalahnya Al-Islam wa al-Nas wa al-‘Ilmu wa al-Madaniyat dan Tafsir al-Mannar.
Thaqafah
dalam Bahasa Arab bermaksud kebudayaan. Menurut Kart Wittfogel dalam bukunya Approaches to Asian Civilization, iaitu ciri kebudayaan secara keseluruhan daripada sesuatu negara berdasarkan pemikiran dan kepercayaan. Dan Arnold Toynbee menerusi bukunya, A Study of History menjelaskan bahawa tamadun sebagai sejenis kebudayaan yang berkembang di dalam kota.

Umran dalam Bahasa Arab bermaksud bangunan atau perbandaran. Istilah ini telah digunakan oleh Ibnu Khaldun di dalam kitabnya, al-Muqaddimah ( abad 14M – 19M ).

Hadharah dalam Bahasa Arab bermaksud kebudayaan. Menurut Ibnu Khaldun hadharah ialah sekumpulan manusia yang tinggal kekal di sesuatu tempat atau kota atau wilayah dan tanah pertanian. Istilah ini telah digunakan oleh Kurdi Ali dalam kitabnya, Al-Islam wa al-Hadharah al-Arabiah. M.A.J Beg dalam bukunya The Image of Islamic Civilization, menjelaskan bahawa hadharah dan umran  mempunyai pengertian yang sama. Istilah umran lebih popular digunakan dalam abad 14M manakala hadharah dalam abad 20M. Menurut Dr. Lutfi Ibrahim, hadharah ialah merupakan pencapaian dalam hal kerohanian seperti pemikiran dan sebagainya yang berasaskan akidah, syarak dan akhlak. Ini merupakan hubungan manusia dengan manusia yang bersumberkan wahyu.

Kamus Dewan  mendifenisikan tamadun  sebagai  keadaan kemajuan  kebendaan atau pemikiran, budaya ,sosial , politik, beradaban dan  dan lain-lain (Teauku Iskandar : 1994). Keadaan masyarakat manusia yang dicirikan oleh taraf perkembangan pemikiran (sosial & budaya) yang tinggi - peradaban. Negara dan penduduknya yang telah mencapai taraf perkembangan pemikiran (sosial & budaya) yang tinggi. Budaya hidup atau cara hidup orang-orang (negara, kawasan atau sesuatu zaman) tertentu. Keadaan pemikiran (budaya & sosial) yang halus.

Beberapa perkataan yang biasa digunakan dalam bahasa inggeris ialah  Culture, Reneissance, Urbanization, dan Civilazation. Adakah semua perkataan itu menyamai makna perkataan tamadun dalam bahasa Arab?

Umumnya memang terdapat perbezaan antara perkataan tersebut yang mencakupi makna dan skop perbahasan mengenainya walaupun ada ciri dan perkaitan di antara satu sama lain. Culture, Urbanization dan Reneissance mempunyai makna yang sempit dan Civilization di anggap mencakupi ketiga-tiga makna tersebut


Kesimpulan

Perkataan kebudayaan mengikut keterangan yang dikemukakan oleh setengah sarjana adalah sama dengan maksud tamadun. Manakala pendapat yang  lain pula mengatakan kebudayan ada sedikit perbezaan dengan tamadun.

Berdasar pendapat-pendapat yang diperkatakan di atas dapatlah disimpulkan bahawa tamadun ialah suatu perubahan atau pembangunan atau kemajuan yang berlaku dalam setiap bidang kehidupan masyarakat samada berbentuk fizikal, peraturan, pentadbiran atau sebagainya dan juga pembangunan spiritual dari segi akhlak dan kemanusiaan. Ia berterusan dan tidak terikat dengan sesuatu melainkan syarak.Tamadun Islam mementingkan pencapaian kedua-dua aspek kehidupan namun pembangunan spritual adalah diutamakan.


Tajuk 2.2: Ciri-ciri tamadun Islam
HHHo

Tamadun Islam mempunyai ciri-ciri tertentu  yang dapat diterangkan  seperti berikut:

  1. Sumber tamadun Islam daripada al-Quran dan hadis  (Tajuk ini akan diterangkan dalam tajuk berikut)
     
      2.  Nilai-nilai  tamadun  Islam adalah tetap. Ini bermakna  nilai baik dan buruk
            yang menjadi ukuran  untuk sesuatu tujuan atau perbuatan  adalah
            berasaskan kepada ajaran al Quran dan hadis bukan kepada hawa nafsu.
            Sebagai contoh dalam kebudayaan Islam tidak  dibenarkan sama  sekali
            minum  arak kecuali dalam keadaan terpaksa (darurat)

1.      Tamadun Islam bersifat terbuka kepada semua tamadun. Sifat ini bermaksud tamadun Islam menerima tamadun-tamadun asing yang telah mencapai  kemajuan dalam berbagai bidang  seperti  pada zaman kerajaan Abbasiah   berbagai bidang ilmu daripada Greek telah diambil dan diterjemah ke dalam bahasa Arab. Hasilnya  tamadun Islam telah mencapai kegemilangan pada zaman itu. Walau bagaimanapun  nilai-nilai yang bercanggah dengan ajaran  al  Quran dan Hadis  ditolak. Di samping itu tamadun Islam  memberi sumbangan kepada kemajuan  tamadun lain umpamanya  orang-orang Eropah telah mengambil khazanah ilmu dari kegemilangan tamadun islam  di  Sepanyol untuk  menjayakan kemajuan di Eropah.

2.      Tamadun Islam sesuai dengan sifat semula jadi manusia. Semua nilai   adalah  bertujuan untuk mencapai kebahagian di dunia dan akhirat . NIlai-nilai tamadun Islam mendorong  manusia untuk melakukan tugasnya sebagai khalifah Allah. Tugas ini bermaksud  menjalankan peranan sebagai  pengurus, pemimpin dan perancang kepada kemajuan dunia ini.


3.      Tamadun Islam tidak terikat dengan bangsa atau daerah yang tertentu.  Oleh
      itu tamadun  berlaku di mana-mana seperti  di kepulauan Melayu, di India, di 
      Selatan  Filipina dan sebagainya.

4.      Tamadun Islam tidak tertakluk kepada masa-masa yang tertentu. Oleh itu
      tamadun Islam boleh berlaku pada zaman Nabi Muhammad (rasul) sehingga
      zaman kini. Dalam  hal ini tidak tepat sekiranya tamadun Islam itu  dikatakan
      hanya berlaku  pada zaman  Rasul atau zaman pertengahan.

5.      Semua kemajuan yang dicapai  semasa  pemerintahan Islam dikira tamadun
      Islam selagi tidak bertentangan dengan ajaran islam. Sesuatu ciptaan yang
      dibuat oleh bukan Islam tetapi  di arah oleh pemerintah Islam dikira sebagai
      tamadun Islam.





 














Tajuk 2.3: Matlamat Tamadun Islam

Matlamat terbahagi kepada tiga bahagian



Ianya  untuk menyempurnakan perhubungan tiga dimensi seperti rajah di bawah.







a) Huquq Allah (Hubungan Manusia dengan Allah)
b) Huquq al-’Ibad (Hubungan Manusia Sesama Manusia)
c) Huquq al-Alam(Hubungan Manusia Dengan Alam Sejagat)

a) Huquq Allah (Hubungan Manusia dengan Allah)

Matlamat tamadun Islam tidak dapat dipisahkan dengan matlamat hidup manusia sebagai hamba Allah dan khalifah Allah. Hamba Allah bermaksud  melakukan ibadat hanya kepada Allah. Oleh itu sekiranya sesoerang itu melakukan sesuatu  ciptaan baru ia bermatlamat untuk mendapat  keredaan  Allah  semata-mata bukan kerana  hendak berbangga-bangga dengan   perkara yang dihasilkan.

Islam tidak menentukan bahawa pemikiran manusia hanya terhad sekadar untuk memikirkan alam ini semata-mata. Ia menyuruh manusia berfikir lebih jauh dari itu, dengan menumpukan pemikiran kepada Allah Pencipta Alam ini dan segala yang terkandung di alam ini. Islam menyeru penganutnya agar menghidupkan rasa perhubungan dengan Penciptanya kerana Dialah (Allah SWT) yang memudahkan dan mengurniakan ahli-ahli fikir untuk mencipta pelbagai ciptaan dari semasa ke semasa untuk memenuhi keperluan dan manfaat manusia sejagat. Ini bermakna , tumpuan tidak hanya sekadar pada bidang pembangunan dengan menggunakan atau mengeksploitasi segala sumber dalam alam ini.

Hubungan manusia dengan Penciptanya, Allah SWT merupakan matlamat yang terpenting dan terakhir untuk dituju dalam kehidupan. Inilah hubungan yang paling tinggi berbanding dengan hubungan lain seperti hubungan dengan keluarga, kaum dan bangsa, jenis manusia, kebendaan dan sebagainya. Hubungan-hubungan lain ini merupakan makhluk Allah yang lain daripada perhubungan manusia dengan-Nya. Hakikatnya, hubungan mulia manusia dengan manusia dan alam lainnya akan kembali kepada hubungan yang kudus dengan Pencipta Alam itu sendiri. Maka itu, hubungan dengan Allah SWT adalah yang tertinggi, unggul, kudus, bahagia dan suci murni. Hubungan dengan Allah SWT adalah setinggi-tinggi martabat yang melahirkan suatu kenikmatan tidak terhingga kepada jiwa yang bersih dan suci.

Dalam konteks ini, Pencipta Alam inilah yang memerintah dan menguasainya tanpa membatalkannya. Firman Allah SWT bermaksud:

Katakanlah; Jika bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara, isteri-isteri, kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khuatiri kerugian, dan rumah-rumah kediaman yang kamu sukai adalah lebih kamu cintai daripada Allah dan Rasul-Nya dan daripada berjihad di jalan-Nya, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusan-Nya. Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang fasik.

(surah Al-Taubah, 9:24)

Oleh sebab itu, hubungan manusia dengan pencipta-Nya, Allah SWT adalah suatu bentuk hubungan yang unik, berkekalan dan mutlak serta tidak menyamai atau dapat dibandingkan dengan sebarang bentuk hubungan lain. Bentuk hubungan lain tidaklah sebegitu serta tidak dapat menyamai atau dibuat perbandingan. Umpamanya, hubungan dengan para rasul merupakan hubungan untuk mengambil petunjuk dan teladan daripada tingkah laku dan aktiviti mereka (sunnah), serta mematuhi ajaran yang dianjurkanoleh mereka, di samping mencintai sifat-sifat peribadi mereka yang begitu unggul, tetapi bukanlah hubungn perhambaan, kerana para rasul itu sendiri ialah hamba-hamba Allah SWT. Allah SWT berfirman yang bermaksud

”Isa itu tidak lain hanyalah seorang hamba yang kami kurniakan kepadanya nikmat (kenabian) dan kami jadikan dia sebagai tanda bukti (kekuasaan Allah) untuk Bani Israel”



b) Huquq al-’Ibad (Hubungan Manusia Sesama Manusia)

Masyarakat Islam merupakan suatu masyarakat yang berbentuk sejagat, yakni tidak bersifat perkauman, tidak bersifat kebangsaan dan tidak terbatas dalam lingkungan sempadan geografi dan politik, lebih berbentuk kesatuan ummah. Hubungan dengan masyarakat bukan Islam tidak dibataskan sama ada kerana perbezaan jenis, warna kulit, bahasa dan bangsa, malah tidak juga memandang keyakinan dan kepercayaan individu, sebaliknya mementingkan hubungan baik, saling menghormati, bertoleransi dan berdisiplin. Bagi masyarakat Islam, hanya terdapat satu usuran untuk mendapat tempat utama di sisi Khaliq. Iaitu ketakwaan dan ketaatan lepada-Nya, di samping berbuat baik lepada hamba-hamba-Nya. Firman Allah SWT bermaksud

“ Wahai manusia, sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu daripada seorang lelaki dan seorang perempuan, lalu Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku, supaya kamu saling berkenal-kenalan. Sesungguhnya yang paling mulia di sisi Allah ahíla yang paling takwa di antara  kamu”  (surah Al-Hujuraat 49:13)

Dalam konteks ini, Rasulullah SAW juga telah memberikan penegasan tentang umat dan berkait pula dengan masyarakat Islam, dalam sebuah hadis Baginda yang bermaksud

: Tidak ada kelebihan seorang Arab dengan seorang ‘Ajam, kecuali kerana takwanya”
(diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim)

Ini menunjukkan bahawa idea diskriminasi ras atau perkauman sudah dihapuskan dalam masyarakat Islam sejak  zaman Rasulullah SAW lagi, dan sebaliknya  membuka pintunya kepada seluruh Amat manusia di atas bumi ini atas dasar persamaaan yang sempurna dan di atas landasan perikemanusiaan yang murni. Atas dasar ini, semua manusia berhak untuk  berhimpun dalam pangkuan Islam dan di bawah perlindungan sistem sosialnya. Namur begitu, dalam Islam wujud peranan dan tanggungjawab yang berbeza antara orang Islam(muslim)dengan orang Islam yang lain dan antara orang Islam dengan bukan Islam di dalam sesuatu masyarakat. Dengan itu, Islam mewajibkan lepada pemerintah-pemerintah Islam supaya menjaga kepentingan bukan Islam dengan seadil-adilnya, di camping terhadap orang Islam sendiri. Kezaliman, kekerasan dan penganiayaan sesama manusia tanpa mengira orang Islam atau bukan Islam ditolak dengan keras menurut ajaran Islam.

Kepentingan hubungan antara manusia dengan sesama manusia ditonjolkan dalam ajaran Islam. Ini termasuklah sebagaimana dinyatakan dalam beberapa hadis Rasulullah SAW antaranya yang bermaksud ”Orang Mukmin itu dengan Mukmin yang lain adalah laksana satu bangunan, bahagian yang satu menguatkan bahagian yang lain” (diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim). Menurut sabda Rasulullah SAW lagi, yang bermaksud: Bandingan orang-orang Mukmin mengenai kasih sayang mereka, belas kasihan mereka dan timbang rasa mereka adalah laksana sebatang tubuh, jika satu anggota mendapat sakit, maka seluruh anggota yang lain turut merasai sakit tanpa tidur dan merasa demam(panas) (diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim).

Berdasarkan hubungan manusia sesama manusia, hubungan yang begitu erat dan kasih sayang yang kukuh, merupakan satu bentuk keharmonian dan disiplin yang t
Inggi. Ini merupakan gambaran yang jelas bahawa tamadun Islam begit mementingkan hubungan sesama manusia.

Melalui tanggungjawab sebagai khalifah Allah manusia diberi ganjaran yang besar sekiranya ia  berkorban masa dan waktu untuk  mencipta sesuatu perkara baru yang  memberi manfaat kepada  manusia. Ciptaan  perisian computer yang baru sudah  tentu memudahkan  ramai orang  untuk menjalankan tugas-tugas mereka.

c) Huquq al-Alam(Hubungan Manusia Dengan Alam Sejagat)

 Khalifah  Allah bermaksud membangunkan alam, menguruskan alam dan mentadbir Alam. Menjadi tanggungjawab  manusia  menguruskan alam dengan sebaik-baiknya. Manusia dikehendaki  membuat kebajikan kepada manusia 

Selain daripada memberi sumbangan kepada  manusia, menjadi tugas setiap insan membangunkan dengan  baik  alam sekitar yang meliputi  pokok-pokok, binatang  cekerawala dan  sebagainya.  Tidak dibenarkan sama sekali merosakkan alam ini  Sebagaimana firman Allah yang bermaksud:

       “Telah menjadi nyata kerosakan di darat dan di laut disebabkan oleh perbuatan
         tangan manusia…..Allah  menjadikan mereka merasakan sebahagian daripada
         perbuatan mereka agar mereka kembali ke jalan yang benar.” (al-Rum:41)

Ayat ini menerangkan bahawa kerosakan yang berlaku pada alam ini disebabkan olen perbuatan manusia (seperti membuat pencemaran sungai  dan udara). Akibatnya mereka menanggung kesusahan daripada perbuatan jahat tersebut.
             Manusia mesti ingat bahawa Allah menjadikan  alam untuk kepentingan manusia sejagat. Perkara ini dijelaskan dalam al Quran  sebagaimana firmannya yang bermaksud:

       “Allah yang menjadikan langit dan bumi dan ia menurunkan dari langit air, maka
        ia mengeluarkan dengannya buah-buahan yang  menjadi rezeki bagi kamu. Dan
        ia memudahkan bagi kamu kapal untuk kamu berjalan di laut dengan ketentuan 
        daripadanya dan dimudahkan  untuk kamu sungai-sungai, disediakan  malam
        dan siang dan ia mendatangkan untuk kamu segala sesuatu  yang kamu
        bermohon daripadanya.” (Ibrahim: 32-34)

Kesimpulan

Matlamat Tamadun adalah untuk menjaga tiga dimensi perhubungan manusia. hablum mina Allah iaitu hubungan manusia dengan Allah s.w.t, hablum mina al-nas iaitu hubungan manusia dengan manusia dan huquq al alam iaitu hubungan manusia dengan alam.
Islam adalah agama fitrah yang pada asalnya dipunyai dan dimiliki semua manusia dan bersumber daripada Allah SWT. Ia mempunyai tujuan dan matlamat yang telah ditetapkan oleh Pencipta-Nya sendiri, iaitu
 Allah SWT. Justeru, tamadun Islam juga turut mempunyaib tujuan dan matlamat, kerana sesuatu yang tidak mempunyai matlamat, tujuan atau objektif adalah sesuatu yang tidak bernilai dan bahkan sia-sia semata-mata. Matlamat tamadun Islam dapatlah diringkaskan seperti berikut:
Ia bermatlamat menyempurnakan manusia secara menyuluruh. Justeru, Islam secara Idealnya, menghendaki dan menetapkan sistem dan peraturan supaya manusia mencari, mencipta, membangun, memajukan diri dan mempergunakan segala-gala yang disediakan oleh Allah SWT dalam alam ini untuk kebaikan dan manfaat semua manusia. Secara realitinya, manusia hanya perlu melaksanakan sistem dan peraturan tersebut dalam pembinaan dan pembentukan tamadun mereka. Dengan pelaksanaan sistem ini, seluruh kebaikan dan manfaat dalam pencapaian dan kemajuan tamadun tersebut akan kembali kepada manusia semula secara menyeluruh. Hal ini kerana , matlamat tamadun Islam adalah segala-galanya daripada Allah SWT, kembali kepada Allah SWT dan untuk Allah SWT selama-lamanya.


Tajuk 2.4: Prinsip-Prinsip  Tamadun Islam


Prinsip tamadun Islam ialah memelihara keselamatan nyawa, akal, keturunan (maruah), harta dan kebebasan.


Prinsip 1 : Memelihara Keselamatan Nyawa


Tamadun Islam meletakkan keselamatan nyawa di tempat paling utama. Membunuh adalah dilarang sama sekali. Dalam al-Quran menjelaskan :

 ‘”Dan janganlah kamu membunuh bangsamu sendiri . Sesungguhnya Tuhan itu penyayang kepadamu” (al-Nisa, 29)

Dalam ayat yang lain Allah menjelaskan: “Bahawa siapa yang membunuh seorang manusia bukan kerana hukuman pembunuhan atau kerana membuat bencana dalam negeri, maka bererti orang itu telah membunuh manusia seluruhnya.” (al-Maidah:32)

Prinsip 2 : Memelihara Akal

Keselamatan akal  juga diutamakan dalam tamadun Islam kerana dengan akal manusia  boleh menguruskan alam ini. Oleh itu Islam mengharamkan  sesuatu perkara yang boleh  merosakkan akal. Arak diharamkan kerana boleh merosakkan akal manusia. Perkara ini dijelaskan oleh al Quran seperti terjemahan berikut:

“Wahai orang yang beriman sesungguhnya meminum arak,  berjudi, berkorban untuk berhala, mengundi nasib dengan  panah adalah perbuatan  keji termasuk perbuatan syaitan. Maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu memperoleh keuntungan. (al-Maidah: 90)

Prinsip 3 : Memelihara Maruah

Keselamatan keturunan dan maruah dapat dipelihara dengan cara menjauhkan  diri daripada melakukan zina, homosek dan  lesbian. Perbuatan zina meosakkan keturunan kerana anak yang lahir ketiadaan bapa. Perbuatan lesbian dan homosek pula menjadikan pasangan itu tidak mempunyai anak dan merupakan perbuatan terkutuk. Umat nabi Lut yang mengamalkan perbuatan homosek  telah dilaknat oleh Allah dengan cara  menelingkupkan bumi tempat tinggal mereka. Akibat daripada sek  tanpa kahwin  melahirkan jenayah-jenayah yang lain seperti  pengguguran bayi dan pembunuhan bayi.  Dalam  al-Quran Allah menerangkan:

           “Dan janganlah kamu menghampiri zina kerana ia merupakan perkara keji
            dan  seburuk-buruk cara” (Israk: 32)

Hukuman yang berat dikenakan kepada pesalah-pesalah zina. Pukulan  dengan rotan sebanyak seratus kali dikenakan kepada teruna dan dara dan rejam sampai mati  dikenakan kepada pesalah yang telah berkahwin.




Prinsip 4 : Memelihara  Harta Benda

Harta adalah perlu dijaga supaya tiidak  hilang. Oleh itu orang  yang memiliki harta disuruh supaya menjaganya dengan baik. Sesiapa yang mencuri  akan dikenakan hukuman yang berat iaitu potong tangan. Firman Allah yang bermaksud:

           “lelaki dan perempuan yang mencuri, potonglah tangan keduanya sebagai
            pembalasan bagi apa yang telah dikerjakan dan sebagai seksaan daripada
            Allah.” (al-Maidah:38)

Berjudi dilarang sama sekali  dan dimurkai oleh  Allah. Semua peminat judi mengetahui bahawa amalan berjudi  menghapuskan harta dan merupakan ajakan syaitan untuk memusnahkan  harta  yang dikumpul oleh manusia.


Prinsip 5 : Menjaga Hak Kebebasan

Tamadun Islam mementingkan kebabasan. Manusia diminta supaya bebas daripada beragama secara ikutan. Manusia dikehendaki beragama  kerana betul-betul yakin bahawa agama yang dianuti itu adalah agama yang benar yang diturunkan oleh Allah.  Tidak  dibenarkan beragama kerana mengikut  ibu dan bapa. Manusia juga diminta supaya bebas daripada  kesesatan. Akal manusia sahaja tidak dapat  mengetaIsalhui perkara-perkara ghaib seperti syurga dan neraka.  Oleh itu akal manusia memerlukan pertunjuk daripada al-Quran bagi menerangkan perkara-perkara yang tidak dapat difikirkan oleh akal.




Umat Islam tidak boleh mamaksa  orang-orang bukan Islam  memeluk agama Islam.
Cara yang baik ditunjukkan oleh alQuran ialah melakukan dakwah dengan bijaksana.
Walau bagaimanapun sekiranya orang-orang bukan Islam mengkhianati orang-orang Islam, perang jihad adalah dibenarkan.

Tajuk 2.5: Sumber-Sumber  Tamadun Islam


Dari mana tamadun  Islam lahir?  Jawapannya ialah tamadun Islam  berasal daripada  dua punca: Sumber wahyu dan  akal.  Wahyu bermaksud ajaran-ajaran yang disampaikan oleh Allah kepada Nabi Muhammad  melalui malaikat Jibril. Wahyu pertama  kepada Nabi Muhammad bermula pada tahun 610M semasa Nabi Muhammad berada di Gua Hirak. Sejak peristiwa itu  tamadun Islam terus berkembang.

Wahyu atau Naqli dibahagikan kepada dua: al-Quran dan Hadis.

AL-Quran
Al-Quran ialah  semua ajaran yang disampaikan oleh Allah kepada Nabi Muhammad yang berlaku  selama 23 tahun.  Muhmmad Abdul Jabar Beg  memetik pendapat  M. Ali  yang mengatakan  “al-Quran merupakan pencetus revolusi kelahiran tamadun Islam” Kandungan al-Quran secara ringkas mengandungi  perkara yang berkaitan  aqidah, syariat, akhlak, janji baik/jahat,  cara-cara untuk mendapat kebahagiaan  dan  kisah orang yang menurut perintah Allah atau melanggar perintah Allah.

Hadis
Hadis ialah kata-kata  (selain Quran),  perbuatan, dan perlakuan diam Nabi Muhammad. Peranan hadis ialah  mentafsir dan menerangkan maksud al-Quran, mengulang dan menyokong kenyataan al-Quran, dan menjelaskan perkara-perkara yang tidak  disebut dalam Quran. Sebagai contoh dalam  al-Quran tidak menyebut  bagaimana cara  rukuk dan sujud, maka  Nabi telah  melakukan perbuatan  tersebut.

Contoh Hadis.

Rasulullah bersabda yang bermaksud Tuntutlah ilmu dari buaian hingga ke liang lahad” ( Perkataan )
Sabda Rasululah, “ Sembahyanglah kamu sebagaimana kamu melihat aku sembahyang ( Perbuatan )
Nabi berdiam diri ketika melihat tentera-tentera Islam memakan dhab
( Diam)

Hasil daripada ajaran-ajaran yang disampaikan oleh al-Quran dan Hadis  lahirlah bentuk tamadun atau kebudayaan umat Islam umpamanya  sistem perbankan tanpa faedah dan pakaian yang menutup aurat.


Akal

Akal boleh dijadikan sumber tamadun kerana akal memang merupakan suatu daya yang membolehkan manusia merancang dan bergerak. Akal boleh digunakan untuk membuat tafsiran dan bertindak. Walau bagaimanapun  keputusan akal akan hanya dipakai jika tidak bertentangan dengan al-Quran.

Akal digunakan dalam ijtimak ulamak dan kias iaitu dengan berijtihad menggunakan akal fikiran dalam membuat sesuatu keputusan. Setelah berijtihat baharulah dikeluarkan pendapat yang merupakan ijmak ulamak

Penemuan Baru dan Warisan

Penemuan baru dalam berbagai bidang hasil penemuan dan penyelidikan boleh dijadikan sumber Tamadun Islam. Sains dan teknologi boleh diterima selagi tidak melanggar prinsip-prinsip Islam. Warisan yang baik boleh diambil dan diterima untuk tamadun Islam.

Contonya bentuk-bentuk bangunan yang berunsur / lambang sesuatu bangsa. Boleh diterima dalam tamadun Islam setelah diubah sesuai dengan kehendak dan acuan Islam sendiri.

Banyak  ciptaan-ciptaan baru dihasilkan pada zaman kegemilangan  kerajaan Abbasiah dan kerajaan Islam di Sepanyol.  Sejarah membuktikan bahawa banyak  bahan-bahan tamadun daripada Greek, Rom dan India telah  diterima sebagai sumber tamadun Islam . Sumber-sumber tersebut menjadi bahan pemikiran untuk menghasilkan tamadun baru. Semua bahan yang tidak bercanggah dengan ajaran Islam diterima sebagai  sumber tamadun.





SOALAN-SOALAN TUTORIAL
1. Dengan menggunakan peta minda huraikan cirri-ciri  tamadun Islam.
2. Huraikan keselamatan nyawa, keselamatan keturunan dan keselamatan 
    kebebasan  mengikut tamadun Islam.


RUMUSAN
     

  • Pengertian tamadun mengikut sarjana Islam dan Barat tidak ada perbezaan.

  • Tamadun Islam mempunyai ciri-ciri yang tertentu seperti  bersumberkan al Quran dan  Hadis, dan  meliputi semua tempat dan masa.

  • Tamadun Islam mengutamakan kesematan nyawa, harta, akal, maruah dan
             kebebasan.

  • Sumber tamadun Islam  ialah al-Quran, hadis dan akal.

  • Matlamat tamadun Islam untuk  mengabdikan kepada Allah, berbuat baik kepada manusia dan menggunakan alam sekitar untuk tujuan yang memberi manfaat.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Blogroll

Anda Pengunjung ke

View My Stats

Site Info

Text

Misri Hj Bohari Blog Copyright © 2009 WoodMag is Designed by Ipietoon for Free Blogger Template