Puasa pada syarak menahan diri dapipada pekara-pekara yang membatalkan puasa dengan jalan yang tertentu.
Wajib puasa Ramadan dengan salah satu dari tiga pekara.
- sempurna bulan syaban tiga puluh hari.
- melihat anak bulan ramadan.
- naik saksi seorang yang adil bahawa anak bulan ramadan kelihatan.
Peringatan:
Adil yang dikehendaki disini adil pada penyaksian bukan adil meriwayat kan khabar.
Maka tidak wajib puasa apabila naik saksi orang yang fasik, perempuan, kanak-kanak, dan hamba,
Wajib puasa ramadan bagi mereka yang melihat anak bulan ramada sekalipun dia seorang yang fasik. Tidak wajib kepada orang yang lain.
Apabila naik saksi seorang yang adil bahawa dia ada melihat anak bulan ramadan dan kadi menghukumkan sabit ramadan maka wajib berpuasa atas sekelian umat islam yang ada ditempat yang satu matlak yakni tempat yang sama masa naik matahari.
Satu matlak ialah kawasan yang dalam kawasan dua puluh lapan minit kata setengah ahli falak tiga puluh dua minit.
Sah puasa ramadan mereka yang melihat tanda yang menunjukkan telah masuk ramadan seperti pengistiharan yang dibuat oleh kerajan didalam televisyen atau radio, pada zaman dahulu mereka membuat tanda dengan bunyi meriam, lampu yang dipasang di menara dan sebagainya, sebab sah puasa ialah kerana memberi faidah yakin telah masuk ramadan.
Rukun puasa
- Orang yang puasa
- Niat, tempatnya didalam hati, tetapi disunatkan berlafas pada niat
- Menahan diri dari pekara yang membatalkan puasa.
Niat puasa:
نويت صوم غد عن أداء فرض رمضان هذه السنة لله تعالى
Sahaja aku puasa esok hari menunaikan fardu ramadan pada ini tahun kerana Allah تعالى
Mengapa pada rukun sembahyang tidak disebutkan orang yang sembahyang sebagai rukun sedangkan pada puasa, orang yang puasa menjadi rukun?
Ini kerana orang yang sedang sembahyang dapat dilihat kelakuan dia sedang sembahyang, manakala orang yang sedang berpuasa tidak dapat kita lihat kelakuan dia sedang berpuasa.
Syarat sah puasa:
Mereka yang ada syarat ini sah puasanya.
1. Islam maka tidak sah puasa orang yang murtad dan orang kafir sekalipun dia dituntut melakukan cabang-cabang syariat.
2. Berakal maka tidak sah puasa orang gila dan orang yang pitam sepanjang hari yakni dari terbit fajar sehinga terbenam matahari.
Sah puasa orang yang pitam jika dia ada sadar sedikit pada siang hari.
Mumaiyis maka tidak sah puasa kanak-kanak yang belum mumaiyis.
Mumaiyis ialah dapat membezakan antara yang baik dan yang buruk.
3. Suci dari haidh dan nifas maka batal puasa perempuan yang kedatangan haidh atau nifas sedang dia berpuasa, samaada kedatangan haidh atau nifas itu sesaad lagi hendak berbuka.
Tidak sah puasa perempuan yang darahnya berhentu sesaad selepas terbit fajar.
4. Niat maka wajib menentukan niat pada puasa fardu seperti puasa ramadan, puasa qadak (ganti), puasa nazar, puasa kafarah. Wajib niat pada malam sekiranya puasa fardu, adapun puasa sunat maka harus diniatkan pada siang hari sebelum gelincir matahari yakni sebelum masuk waktu zuhur. Wajib berniat pada tiap-tiap malam pada puasa ramadan. Mazhab Maliki mengharyskan berniat pada awal ramada dengan berniat sekelian bulan ramadan seperti diniatkan sahaja aku puasa sebulan ramadan pada ini tahun kerana Allah تعالى . Apabila seorang yang bermazhab Syafie berniat puasa sebulan dan dia ada tertingal berniat pada satu malam maka puasanya sah mengikut mazhab ini, dan tidak perlu mengqadak puasanya, ini dengan syarat dia menjaga pekara yang membatalkan puasa menurut mazhab Maliki.
5. Masuk waktu bagi puasa ramadan atau dapat sebab pada puasa fardu yang lain seperti puasa nazar atau puasa kafarah.
6. Menahan diri dari pekara yang membatalkan puasa
Pekara yang membatalkan puasa ialah:
1. memasukkan sesuatu ain (benda) kedalam ronga yang terbuka, sedikit benda yang masuk itu atau banyak.
2. sengaja muntah sekalipun yakin tidak kembali muntah itu kepada bahagian batin. Kawasan zahir/luar mulut adalah tempat keluar hurup (ح) kata setengah fukahak (خ) dan kawasan dalam/batin selepas dari itu iaitu tempat keluar hurup (أ) dan (ه)
3. jimak dengan sengaja sekalipun tidak keluar mani
4. keluar mani dengan sebab bersentuh dengan isteri dengan tidak berlapik, atau keluar mani dengan sengaja
5. kedatangan haidh atau beranak, sedangkan anak itu basah.
6. kedatangan gila walaupun sesaad.
7. pitam sepanjang hari.
8. mabuk sepanjang hari.
9. berbuka sebelum yakin atau zan masuk waktu.
10. murtad iaitu terkeluar dari agama islam.
Syarat wajib puasa
Mereka yang ada syarat ini wajib berpuasa.
- islam
- berakal.
- cukup umur.
- kuasa berpuasa.
- bermukim.
Tidak wajib puasa;
- orang kafir, serta tidak wajib qadak apabila masuk islam.
- orang gila, serta tidak wajib qadak apabila siuman.
- kanak-kanak serta tidak wajib qadak apabila apabila dia baligh
- orang yang pitam , tetapi wajib qadak apabila apabila dia siuman.
- orang mabuk , tetapi wajib qadak apabila apabila dia siuman
- orang yang tidak kuasa kerana tua atau sakit yang tiada harapan sembuh , Orang yang sangat tua dan orang yang sakit yang tidak ada harapan sembuh boleh mengeluarkan secupak makanan bagi setiap puasa yang ditingalkan.
- orang haidh dan nifas, tetapi wajib qadak.
- orang sakit , tetapi wajib qadak.
- orang yang sedang bermusafir, tetapi wajib qadak.
Suna-sunat puasa:
- menyegerakan berbuka apabila yakin atau zan masuk matahari. Haram berbuka jika syak masuk matahari.
- berbuka dengan buah tamar jika tiada dengan suatu yang manis dan jika tiada maka dengan air.
- makan sahur.
- melewatkan makan sahur tetapi jangan sampai masa yang disyaki terbit fajar.
- meningalkan berkata-kata perkatan yang keji.
- mandi daripada hadas (mandi wajib) sebelum terbit fajar.
- membanyakkan bersedekah, membaca quran, dan sembahyang sunat seperti terawih dan witir.
- beri’tikaf didalam masjid.
- sunat membaca doa’ berbuka puasa setelah makan sedikit makanan, dua’nya ialah:
اللهم لك صمت وبك آمنت وعلى رزقك أفطرت فتقبل منى إنك أنت السميع العليم
10. sunat bersederhana pada makan supaya menguatkan berbuat ibadat.
Dikirim dalam Bab Ibadat
http://almalakawi.wordpress.com/2009/07/09/puasa/
Oleh : Fadhilatul-Syeikh Muhammad Soleh al-‘Utsaimin r.h.
Diterjemahkan Oleh: Abu Hasyim al-Yahya
(Unit Penyelidikan dan Penterjemahan - UPP)
Segala puji bagi ALLAH tuhan sekelian alam, selawat dan salam ke atas Nabi kita Muhammad SAW dan ahli keluarga baginda dan para sahabat baginda kesemuanya.
Ini adalah sebuah risalah puasa yang menerangkan hukum-hakamnya, kategori manusia padanya dan perkara-perkara yang membatalkannya serta faedah-faedah lain secara ringkas.
1. Takrif puasa ialah: Ibadah kerana Allah SWT dengan meninggalkan perkara-perkara yang membatalkannya bermula dari terbit fajar sehingga terbenam matahari.
2. Puasa di bulan Ramadan ialah satu rukun Islam yang agung berdasarkan sabda Nabi Muhammad SAW:
“Islam itu terbina di atas lima perkara; bersaksi bahawa tiada tuhan yang layak disembah melainkan Allah SWT dan Muhammad itu utusan Allah SWT, mendirikan solat, mengeluarkan zakat, menunaikan haji dan puasa di bulan Ramadan ”. [1]
KATEGORI MANUSIA DI DALAM PUASA
1. Puasa wajib bagi setiap Muslim yang baligh, berakal, mampu untuk melaksanakannya serta bermukim (tidak bermusafir).
2. Orang bukan Islam tidak wajib berpuasa dan tidak wajib menqadak sekiranya mereka memeluk Islam.
3. Kanak-kanak yang belum baligh tidak wajib berpuasa, akan tetapi digalakkan supaya mereka terbiasa dengannya.
4. Orang gila tidak wajib puasa dan tiada kafarah (memberi makan kepada seorang miskin setiap hari yang ditinggalkan) bagi mereka walaupun ia dewasa. Begitu juga hukum orang kurang akal yang tidak mumaiyiz dan yang seumpamanya.
5. Orang yang tidak mampu untuk berpuasa kerana faktor-faktor yang berterusan seperti terlalu tua dan sakit yang tiada harapan untuk sembuh. Mereka dibenarkan berbuka dan perlu membayar kafarah.
6. Orang berpenyakit kritikal yang mempunyai harapan untuk sembuh dibenarkan berbuka sekiranya puasa membebankan mereka dan wajib qadak selepas sembuh.
7. Orang yang hamil atau menyusukan anak. Sekiranya membebankan mereka disebabkan hamil atau menyusu atau takut memudaratkan anak mereka, dibenarkan berbuka dan wajib mereka menqadaknya apabila hilang beban serta takut kemudaratan tersebut.
8. Orang yang datang haid atau nifas haram mengerjakan puasa ketika haid dan nifas, akan tetapi wajib qadak setiap hari yang ditinggalkannya.
9. Orang yang terpaksa berbuka kerana untuk menyelamatkannya daripada lemas atau terbakar. Dibenarkan berbuka untuk tujuan tersebut kemudian wajib mereka menqadak puasa tersebut.
10. Orang yang bermusafir sekiranya mereka ingin puasa, mereka berpuasa dan sekiranya ingin berbuka, mereka berbuka tetapi wajib menqadaknya. Sama ada perjalanan itu jarang-jarang seperti umrah atau perjalanan yang berterusan seperti pemandu kereta sewa (teksi atau bas) maka dibenarkan untuk mereka berbuka sekiranya mereka ingin berbuka selagi mana mereka berada di luar daerah mereka.
PERKARA YANG MEMBATALKAN PUASA
· Tidak membatalkan puasa sekiranya seseorang itu mengambil perkara-perkara yang membatalkan puasa dalam keadaan lupa atau jahil atau dipaksa berdasarkan firman Allah SWT (yang bermaksud):
“Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengambil kira jika kami terlupa atau tersalah” [2]
“Kecuali orang yang dipaksa (melakukan kufur) sedang hatinya tenang tenteram dengan iman;” [3]
“Dan kamu pula tidak dikira berdosa dalam perkara yang kamu tersilap melakukannya, tetapi (dikira berdosa itu) yang disengajakan oleh hati kamu melakukannya ”. [4]
· Maka sekiranya seseorang yang berpuasa itu makan atau minum dalam keadaan lupa, puasanya tidak dikira batal kerana dia terlupa.
· Walaupun dia makan atau minum kerana menyangka bahawa matahari telah terbenam atau fajar belum terbit, maka puasanya tidak dikira batal kerana dia jahil (tidak mengetahui).
· Walaupun dia berkumur-kumur lalu termasuk air tersebut ke dalam halkum dengan tidak disengajakan. Ianya tidak membatalkan puasa kerana dia tidak sengaja melakukannya.
· Walaupun dia ‘bermimpi basah’ (mimpi berjimak yang menyebabkan keluar air mani) ketika ia tidur. Tidak membatalkan puasa kerana tiada ikhtiar baginya.
8 PERKARA YANG MEMBATALKAN PUASA:
1. Berjimak: Sekiranya dilakukan di siang hari puasa, maka wajib qadak serta kafarah yang berat iaitu; membebaskan seorang hamba, sekiranya tidak didapati hamba untuk dibebaskan maka puasa 2 bulan berturut-turut, sekiranya tidak mampu maka memberi makan 60 orang miskin.
2. Mengeluarkan air mani secara sedar: Dengan istimna’ (mengeluarkan mani dengan tangan atau seumpamanya) atau mukadimah kepada jimak atau ciuman atau pelukan atau seumpamanya.
3. Makan dan minum: Sama ada bermanfaat atau pun memudaratkan seperti rokok.
4. Suntikan air berzat: Yang memadai seseorang mengambilnya daripada makanan, kerana ianya dikira sebagai makanan dan minuman. Ada pun suntikan selain daripada air berzat tidak membatalkan puasa, sama ada disuntik pada otot-otot atau pun pada urat saraf, sama ada ianya terasa di halkum atau pun tidak.
5. Suntikan darah: Seperti berlaku terhadap orang yang berpuasa kehilangan darah disebabkan kemalangan atau seumpamanya lalu disuntik dengan darah untuk menggantikan darah yang hilang.
6. Keluar darah haid atau nifas.
7. Mengeluarkan darah dengan berbekam dan seumpamanya. Ada pun keluar darah dengan sendiri seperti pendarahan hidung atau keluar darah disebabkan mencabut gigi atau seumpamanya tidak membatalkan puasa kerana tidak dikira sebagai bekam. [5]
8. Muntah dengan sengaja. Sekiranya muntah dengan tidak sengaja, tidak membatalkan puasa.
FAEDAH-FAEDAH LAIN
1. Harus bagi orang yang puasa niat dalam keadaan berjunub kemudian ia mandi selepas terbit fajar.
2. Harus bagi orang yang puasa mencabut gigi, mengubati luka, menitiskan ubat titisan ke dalam mata atau telinga. Ianya tidak membatalkan puasa walaupun dirasakan titisan tersebut pada halkum.
3. Harus bagi orang yang puasa bersugi pada awal dan akhir siang hari Ramadan. Ianya adalah sunnah baginya sebagaimana sunnah bagi orang yang tidak puasa.
4. Harus bagi orang yang puasa melakukan perkara yang mengurangkan rasa kepanasan dan kehausan seperti menyejukkan badan dengan air atau penghawa dingin.
5. Harus bagi orang yang puasa diberi bantuan pernafasan (sama ada dengan bekalan oksigen atau sebagainya) pada mulut untuk melegakan nafas yang tersesak disebabkan tekanan atau selainnya.
6. Harus bagi orang yang puasa membasahi bibir dengan air apabila kekeringan atau berkumur-kumur apabila mulut kekeringan tanpa memasukkan air ke dalam kerongkong.
7. Disunatkan orang yang puasa agar melewatkan sahur sebelum hampir waktu fajar. Mempercepatkan berbuka apabila terbenam matahari. Berbuka dengan ruthab (kurma segar), sekiranya tiada maka dengan tamar (kurma kering), sekiranya tiada maka berbukalah dengan air, sekiranya tiada maka dengan makanan yang halal sekiranya tiada makanan untuk di makan, maka hendaklah niat berbuka sehinggalah diperoleh makanan.
8. Disunatkan kepada orang yang puasa supaya memperbanyakkan segala ketaatan dan menghindarkan segala yang dilarang.
9. Wajib menunaikan puasa di bulan Ramadan bagi perempuan apabila suci daripada haid atau nifas sebelum terbit fajar, walaupun tidak mandi wajib melainkan selepas terbit fajar.
10. Wajib kepada orang yang puasa memelihara segala kewajipan serta menjauhkan diri daripada segala perkara yang haram. Maka hendaklah solat fardu pada waktunya serta dilakukan secara berjemaah, sekiranya dia dari kalangan orang yang sentiasa berjemaah. Hendaklah meninggalkan percakapan dusta, mengumpat, menipu, perniagaan secara riba dan segala perkataan atau perbuatan yang haram. Nabi SAW bersabda (mafhumnya):
“Barang siapa tidak meninggalkan percakapan bohong dan batil serta beramal dengannya maka tiadalah Allah SWT berhajat untuk dia meninggalkan makan dan minumnya ”. [6]
Wallahu'alam
_http://permaya.org/
___________________
[1] Hadis riwayat Bukhari. Kitab: Iman. Bab: Islam itu terbina di atas 5 perkara. Hadis no: 7.
[2] Surah al-Baqarah: 286
[3] Surah al-Nahl: 106
[4] Surah al-Ahzab: 5
[5]
[6] Hadis riwayat Imam Bukhari. Kitab: Puasa. Bab: Barang siapa yang tidak meninggalkan percakapan bohong dan batil. Hadis no: 1770.
----------------------
Qada’ puasa, bayar fidyah dan ukuran cupak
oleh ImamKhalid
Qada puasa adalah wajib ditunaikan terlebih dahulu sebelum datangnya bulan Ramadhan. Malah puasa sunat juga diharamkan untuk dikerjakan sebelum mengqada’ puasa yang tertinggal sebelumnya.
Sekiranya tidak berkesempatan, maka kita diwajibkan membayar fidyah. Fidyah bererti membayar denda berbentuk beras kepada fakir miskin.
Kadar fidyahnya mudah sahaja, iaitu sehari tinggal puasa bersamaan dengan fidyah secupak beras untuk tahun pertama. Tahun berikutnya digandakan mengikut tahun (lihat contoh mudah di hujung artikel ini).
Persoalan yang pertama, banyak mana sebenarnya ukuran secupak beras?
Secupak beras adalah bersamaan dengan 556 gram, iaitu lebih sedikit daripada setengah kilo, tetapi jauh lagi nak sampai satu kilo.
Dalam hal ini, satu perkara perlu diberi perhatian, iaitu membayar lebih tidak mengapa, membayar kurang jangan sekali.
Persoalan yang kedua, kepada siapa seelok-eloknya kita perlu membayar fidyah?
Ada pendapat yang mengatakan bayar fidyah lebih afdal terus kepada fakir miskin, daripada melalui amil yang dilantik.
Ada juga pendapat yang mengatakan bahawa lebih afdal membayar fidyah melalui amil, kerana amil telah dilantik dengan cara tertentu oleh pihak berkuasa. Tambahan pula, bukan senang hendak mencari fakir miskin di kawasan tempat tinggal kita.
Bagaimana pun menurut Imam Shafie, ikut mana-mana pendapat yang dirasakan sesuai kecuali apabila ditentukan oleh mufti negeri masing-masing. Dalam hal ini mufti wajib diutamakan.
Ini kerana kedudukan mufti negeri adalah yang tertinggi selepas sultan. Mufti negeri merupakan suara kepada sultan dalam bab agama. Oleh sebab itu, wajib dituruti.
Sebab itu dalam Islam, mufti tidak perlu menjadi terkenal. Seorang mufti adalah seorang yang senyap, tidak banyak berkata-kata, bersembang, dan sebagainya yang boleh menjatuhkan kredibiliti seorang yang berdarjat tinggi.
Kata seorang tokoh agama, seorang mufti tidak perlu ada blog, tidak perlu terlibat dalam politik, dan sebagainya seperti seorang hakim yang dilantik kerajaan.
Begitu juga keadaannya dengan Qadhi, yang kita lihat di zaman sekarang lebih banyak berpolitik, bersosial dan sebagainya yang mana sepatutnya kedudukan Qadhi adalah setaraf dengan hakim tadi.
Persoalan yang ketiga, berapakah nilai pendapatan yang boleh diklasifikasikan sebagai fakir miskin?
Nilai fakir sebenarnya boleh diukur begini. Ambil RM10 untuk buat pengukuran. Andaikan seseorang itu memerlukan RM10 sehari untuk perbelanjaan harian, termasuk diri sendiri dan tanggungan di bawahnya.
Sekiranya pendapatannya sehari cuma RM3. Maka dia adalah seorang fakir. Sekiranya pendapatannya RM7, maka dia adalah seorang yang miskin.
Sekiranya pendapatannya RM10, maka dia seorang yang sederhana. Sekiranya pendapatannya RM12, maka dia seorang yang berada. Sekiranya pendapatannya RM18, maka dia seorang yang kaya.
Begitulah ukuran yang mudah digunakan. Di manakah kedudukan anda?
Katakan anda perlu bayar rumah, kereta, tanah ladang, aset sana sini, kad kredit, pinjaman peribadi, dan sebagainya, yang mana baki akhir gaji anda menunjukkan bahawa anda hanya boleh berbelanja sebanyak RM3 sahaja dalam sehari.
Di mana kedudukan anda? Sudah pasti, anda bukan seorang fakir, kerana bukan nilai RM3 itu yang diambil kira, tetapi kesemua nilai yang menjadi hak anda seperti rumah, kereta, tanah ladang, dan aset.
Jika anda tidak cukup makan kerana bebanan ini, boleh jadi anda merupakan seorang yang boros atau tidak pandai merancang perbelanjaan. Nasihat saya, dapatkan seorang penasihat kewangan (kena bayar lagi).
Persoalan yang keempat, selepas bayar fidyah, adakah saya bebas dari hutang puasa?
Tidak, belum lagi. Puasa yang telah ditinggalkan itu tetap wajib diqada’ (diganti), dalam nisbah dan kadar yang sama, iaitu satu hari tertinggal bersamaan dengan satu hari qada’. Jumlah fidyah meningkat mengikut tahun, tetapi bilangan puasa tetap sama.
Habis, kenapa perlu bayar fidyah kalau tak bebas hutang? Bayar fidyah adalah kerana lewat mengqada’. Sama seperti konsep kad kredit, lewat bayar kena denda, tapi hutang lama masih perlu diselesaikan.
Persoalan yang kelima, apakah sebab selain lewat, yang mewajibkan kita wajib membayar fidyah?
Ibu mengandung yang tidak berpuasa kerana bimbang zat makanan anak di dalam kandungan, serta ibu yang menyusukan anak yang tidak berpuasa kerana bimbang kekurangan susu di dalam badan.
Keadaan ini berbeza dengan ibu mengandung yang menghadapi kesukaran atau risiko atau sebarang keuzuran syarie, di mana ibu itu hanya perlu mengqada’ sahaja tanpa perlu membayar fidyah.
Persoalan seterusnya, sila isi ruangan komen di bawah untuk dibincang bersama.
Wallahu a’lam.
Contoh mudah (seperti yang dinyatakan di awal artikel):
- Tinggal puasa 1 hari tahun lepas, bayar 1 cupak.
- Tinggal puasa 2 hari tahun lepas, bayar 2 cupak.
- Tinggal puasa 1 hari 2 tahun lepas, bayar 2 cupak.
- Tinggal puasa 2 hari 2 tahun lepas, bayar 4 cupak.
- Tinggal puasa 1 hari tahun lepas dan 1 hari 2 tahun lepas, bayar 3 cupak.
- Tinggal puasa 2 hari tahun lepas dan 1 hari 2 tahun lepas, bayar 4 cupak.
Kesimpulannya, darabkan jumlah hari dengan jumlah tahun lalu (berasingan mengikut tahun) dan kemudian tambahkan kesemua tahun-tahun ini, maka dapatlah jumlah cupaknya.
Contoh Lain :
29 tahun – 12 tahun = 17 tahun.
Ambil jumlah tertinggi bilangan “cuti” bulanan (untuk selamat). Sebagai contoh, 8 hari.
Dalam tempoh 17 tahun kita sambut ramadhan antara 17 hingga 18 kali. Ambil 18 (untuk selamat).
Sekarang, ikut langkah artikel di atas:
- Tinggal puasa 8 hari ramadhan lepas, bayar 8 cupak.
- Tinggal puasa 8 hari 2 ramadhan lepas, bayar 16 cupak.
- Tinggal puasa 8 hari 3 ramadhan lepas, bayar 24 cupak.
- Tinggal puasa 8 hari 4 ramadhan lepas, bayar 32 cupak.
- Tinggal puasa 8 hari 5 ramadhan lepas, bayar 40 cupak.
- Tinggal puasa 8 hari 6 ramadhan lepas, bayar 48 cupak.
- Tinggal puasa 8 hari 7 ramadhan lepas, bayar 56 cupak.
- Tinggal puasa 8 hari 8 ramadhan lepas, bayar 64 cupak.
- Tinggal puasa 8 hari 9 ramadhan lepas, bayar 72 cupak.
- Tinggal puasa 8 hari 10 ramadhan lepas, bayar 80 cupak.
- Tinggal puasa 8 hari 11 ramadhan lepas, bayar 88 cupak.
- Tinggal puasa 8 hari 12 ramadhan lepas, bayar 96 cupak.
- Tinggal puasa 8 hari 13 ramadhan lepas, bayar 104 cupak.
- Tinggal puasa 8 hari 14 ramadhan lepas, bayar 112 cupak.
- Tinggal puasa 8 hari 15 ramadhan lepas, bayar 120 cupak.
- Tinggal puasa 8 hari 16 ramadhan lepas, bayar 128 cupak.
- Tinggal puasa 8 hari 17 ramadhan lepas, bayar 136 cupak.
- Tinggal puasa 8 hari 18 ramadhan lepas, bayar 144 cupak.
Ambil kalkulator, hitungkan semua bilangan cupak di atas, dapatlah 1,368 cupak.
Bagi puasa pula, 8 hari darab 18 kali ramadhan, dapat 144 hari yang wajib diqada’.
Cara qada’, buat setakat mampu. Cara bayar fidyah, sbg contoh buat makan di masjid, tiap2 bulan, sebanyak mana yang mampu, katakan 100 cupak beras sebulan.
100 cupak = 55.6kg = RM166.80 (RM3 sekilo) selama kira2 1 tahun 2 bulan.
Begitulah cara pengiraannya sebagai panduan kita bersama.
Wallahu a’lam.
1 ulasan:
ahlan wasahlan ya ramadhan kareem......
Catat Ulasan