Isnin, 3 September 2012

Kuliah PA 1314 P2 - Hadis Maudhu’ : Takrif Hadis Maudhu’, Faktor Lahirnya Hadis Maudhu’,Ciri-ciri Hadis Maudhu’, Hadis Maudhu’ yang Masyhur dalam Masyarakat dan Cara Membasmi Penyebaran Hadis Maudhu’



Oleh : Ustaz Misri Hj Bohari , Japim, IPG Kampus Keningau, Sabah


Allah telah mengutus Rasulnya yang penyudah dengan membawa petunjuk yang lurus dan kehadiran Al-Quran dan As-Sunnah Nabawiyyah menjadi keterangan dari petunjuk tersebut. Kedua-duanya juga menjadi asas kepada tertegaknya Agama Islam sebagai ad-Deen yang merupakan suatu cara hidup bertujuan memperhambakan diri kepada Allah S.W.T seperti yang digambarkan dalam Al-Quran dengan firmanNya,

وما خلقت الجن والانس الا ليعبدون

“Dan tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk memperhambakan diri kepada-Ku.” (az-Zariat: 56).

Rasulullah s.a.w diarahkan oleh Allah untuk menyampaikan wahyu kepada umatnya dan sudah tentu baginda menjelaskan wahyu tersebut melalui ucapan (qawl), perbuatan (fi’lun) dan perakuan (takrir). Penjelasan ini dinamakan As-Sunnah atau Al-Hadis yang menjadi sumber kedua ajaran Islam selepas Al-Quran. Para ulama berpendapat Al-Quran sebagai matan dan Al-Hadis sebagai syarahnya.

Kehadiran hadis mauduk atau palsu bermula sesudah kewafatan Rasulullah s.a.w dan berlakunya pertentangan politik, kemudian ia berkembang melalui perkembangan arus politik, asabiah, fanatik mazhab dan sebagainya. Ianya dilakukan oleh orang Islam sendiri yang lemah imannya dan juga oleh orang-orang munafik dan kafir zindik dengan pelbagai dorongan dan tujuan.

Mauduk menurut bahasa atau etimologinya ia adalah nama subjek (( اسم مفعول berasal daripada perkataan (وضع الشىء) atau) حطه) yang mempunyai beberapa pengertian, antaranya menggaris, mereka, menganggur dan melekat2; atau menjatuhkannya kerana tergugur kedudukannya3.

TAKRIF HADIS MAUDUK( موضوع )

Menurut istilah atau terminologi pula, ia bermaksud berita yang dibuat-buat terhadap Rasulullah s.a.w sebagai pembohongan terhadap baginda3; atau hadis yang direka atau diada-adakan terhadap Rasulullah s.a.w4.

Sebenarnya ia bukanlah hadis tetapi dinamakan demikian sebagai suatu sindiran terhadap perekanya yang mengatakan ia hadis. Hadis mauduk adalah seburuk-buruk hadis daif, malah sebahagian ulama tidak menggolongkannya ke dalam kategori hadis daif dan tidak menggunakan lafaz hadis padanya5.

Para ulama bersepakat mengenai haram hukumnya meriwayatkan hadis sedemikian yang disandarkan kepada Rasulullah s.a.w kecuali disertakan diiringi dengan penjelasan mengenai pendustaan dan pembohongannya. Sesiapa yang mengatakan ia hadis sedangkan beliau tahu ia adalah suatu pembohongan terhadap Rasulullah s.a.w, ternyata dia telah terlibat dengan pembohongan terhadap Rasulullah s.a.w6. Rasulullah s.a.w telah memberi amaran keras terhadap golongan ini berdasar hadis,

من كذب علي متعمدا فليتبوا مقعده من النار

Maksudnya, “ Sesiapa yang sengaja berdusta kepada-ku, maka sediakanlah tempat tinggalnya di dalam neraka.” (Riwayat Muslim)7.

من حدث عني بحديث يرى انه كذب فهو احد الكاذبين

Maksudnya, “Sesiapa yang meriwayatkan daripadaku hadis yang pada sangkaannya adalah dusta, maka dia termasuk dalam kalangan pendusta.”(Riwayat Muslim)8.

Mengikut pandangan Ibn Solah, hadis mauduk adalah seburuk-buruk hadis daif, dan tidak halal diriwayatkan oleh seseorang yang mengetahui keadaannya dalam apa bentuk sekalipun kecuali dengan disertakan penjelasan dan keterangan mengenai kepalsuannya9.

FAKTOR PENDORONG LAHIRNYA HADIS MAUDUK (PALSU)

Para ulama telah mengemukakan beberapa faktor pendorong kepada lahirnya hadis-hadis palsu, antaranya ialah:-

1. Akibat perpecahan di kalangan umat

a) Politik

Perpecahan di kalangan umat Islam timbul sesudah wafatnya Rasulullah s.a.w. Ia berpunca daripada perbezaan pendapat mengenai jabatan Khilafah mengambil kira siapakah yang paling berhak menjabat jabatan yang penting tersebut.

Golongan Jumhur melantik Abu Bakr r.a sebagai khalifah, manakala pengikut-pengikut Ali r.a menegaskan yang Ali lebih layak memegang jawatan tersebut, lalu mereka mengadakan hadis yang menunjukkan keutamaan Ali r.a. manakala golongan jumhur (Ahlu Sunnah) pula membuat hadis untuk mempertahan kedudukan mereka10.

Bermula dari sinilah lahirnya golongan Syiah11 dan Khawarij12 di samping golongan Ahlu Sunah yang sedia ada. Perpecahan di kalangan umat Islam sampai ke tahap yang paling serius setelah berlakunya peristiwa pembunuhan Khalifah ‘Uthman bin ‘Affan sehingga berlakunya perang saudara di dua medan perang iaitu perang Jamal dan al-Siffin13.

b) Fanatik Mazhab14

Akibat daripada perbezaan pendapat mengenai hukum fikah telah menimbulkan fanatik mazhab yang membabi buta sehingga sanggup membuat hadis-hadis palsu. Masing-masing mengeluarkan hadis bagi mempertahankan fahaman mazhab mereka. Imam Malik pernah ditanya tentang mereka, lalu dia berkata, “Jangan kamu memperkatakan tentang mereka dan jangan kamu lihat pun mereka, kerana mereka itu adalah pendusta.”

Ia juga berpunca daripada perselisihan pendapat mengenai sifat dan nama Allah, mengenai kerasulan, kitab, kebangkitan di hari akhirat, Qada’ dan Qadar dan lain-lain. Lahir kemudian beberapa mazhab mutakallimin seperti Qadariyyah, Murji’ah, Jahmiyyah, Mu’tazilah, Musyabihat di samping Ahlu Sunah Wal Jama’ah.

c) Asabiah

Islam menentang golongan fanatik asabiah dan berjaya menyatukan umat Islam di atas keruntuhan asabiah dengan iman dan takwa. Setelah Rasulullah wafat, penyakit ini menular kembali dan mengakibatkan perpecahan bermula daripada golongan Ansar dan Muhajirin, kemudian kabilah Amawiyyah dan Hasyimiyyah serta Abbasiyyah dan melarat sehingga bangsa Arab dan Parsi. Golongan-golongan ini masing-masing membuat hadis untuk kepentingan puak mereka15.

2. Angkara Golongan Zindik16 dan Munafik

Terdapat ramai yang berpura-pura memeluk Islam kerana takut, mengikut orang ramai atau kerana sesuatu kepentingan duniawi. Golongan ini terutamanya para zindik dan munafik memusuhi Islam secara diam-diam, lalu mereka berusaha merosakkan Islam dari

dalam dengan membuat banyak hadis-hadis palsu. Golongan ini dikatakan telah membuat 14,000 hadis palsu. Abdul Karim bin Auja’ sahaja telah mengaku membuat 4,000 hadis mengenai halal dan haram. Beliau telah dibunuh oleh Muhammad bin Sulayman al-Abassiy, Amir Basrah dan sebelum dibunuh beliau menyebut, “Aku telah mencipta untuk kamu 4,000

hadis yang mana aku haramkan yang halal dan aku halalkan yang haram.” Al-Shakawiy menyebut golongan ini adalah golongan yang menzahirkan Islam tetapi menyembunyikan kekufuran atau tidak berpegang kepada ajaran agama, mereka melakukan ini untuk meringan-ringankan agama dan berselindung dengannya dari orang ramai17.

Golongan ini telah menggunakan hadis untuk memporak-perandakan Islam, memecah belah umatnya, dan memasukkan penyelewengan dalam syariatnya. Di antara mereka adalah Harith al-Kazzab, Muhammad bin Said al-Maslub, Mughirah bin Said al-Kufiy dan Abdul Karim Auja’ yang disebut di atas.

3. Kecenderungan mengajak manusia kepada kebaikan

a) Ahli-ahli Bidaah

Terdapat golongan yang sesat menyangka bahawa hadis boleh direka untuk menarik manusia kepada ibadat. Golongan zuhhad bertujuan mendorong dan merangsang umat supaya mendekatkan diri kepada Allah dan beribadat kepadanya telah mencipta hadis-hadis palsu bagi tujuan tersebut disebabkan kejahilan dan kecuaian mereka tentang Islam.

Ini termasuklah hadis-hadis mengenai kelebihan surah-surah al-Quran, ibadat seperti solat sempena hari tertentu (Asyura) dan malam pertama bulan Rejab, malam Nisfu Syaaban, malam Eidul Fitri dan siangnya dan juga hadis-hadis yang mendorong manusia melakukan kerja taat,

zuhud, berakhlak mulia serta amalan-amalan terpuji. Termasuk juga dalam golongan ini ialah hadis-hadis berkaitan doa ‘Ukkasyah, Kanzul ‘Arasy, doa nisfu syaaban, doa awal dan akhir tahun. Begitu juga banyak buku-buku aliran sufi, kisah para nabi, tafsir al-Quran, kitab Targhib dan Tarhib yang memuatkan hadis-hadis palsu. Antara Kitab-kitab tersebut ialah Qashasul Anbiya (Al-Tha’labi); Kitab-kitab karangan Hakim at-Tarmizi; Durratun Nasihin (al-Khubawi); Kitab-kitab karangan al-Waqidi; Washoya Imam Ali; Tanbihul Ghafilin dan Qurratul Uyun (Abu Layth al-Samarkandi), Kitab

Tafsir Ibn Abbas dari riwayat al-Kalbi, as-Suddi dan Muqatil; Kitab-Kitab tafsir al-Tha’labi, al-Wahidi, al- Zamakhsyari, al-Baidhawi dan al-Syaukani; dan beberapa kitab yang lain18.

b) Ahli Sufi yang keliru/sesat

Golongan sufi banyak terlibat dengan perbuatan dan pengamalan hadis-hadis palsu mengenai keutamaan surah-surah al-Quran satu persatu yang diriwayatkan oleh Ubai bin Kaab. Ibn Solah mencatatkan dalam kitabnya al-Israiliyat wal Maudhuat fi Kutub at-Tafasir tentang kajian teliti yang dibuat oleh Mu’ammal bin Ismail tentang satu hadis yang diriwayatkan oleh beberapa syeikh

dan akhirnya menemui syeikh dari sekumpulan sufi bertanyakan siapakah yang meriwayatkan hadis tersebut lalu syeikh itu menjawab, “Tiada sesiapa pun yang meriwayatkan hadis ini kepada-ku, tetapi kami telah melihat manusia telah jauh daripada al-Quran lantas kami buatlah hadis ini untuk mereka bagi memalingkan hati mereka kepada al-Quran”.19

4. Kepentingan Duniawi

a) Ulama yang melobi para Pemerintah

Ini berlaku apabila ulama ingin mengambil hati pemerintah dan mendekatkan diri dengan penguasa. Ulama seperti ini dipanggil ulama as-Su’ iaitu ulama jahat atau ulama duniawi yang menjual agama dengan dunia dengan harga yang murah. Sebagai contoh, Ghiath bin Ibrahim al-Nakhai’e al-Kufi ketika masuk menemui khalifah al-Mahdi yang ketika itu sedang bermain dengan burung merpati, beliau diarahkan oleh baginda membacakan hadis daripada Rasulullah,

lalu dia membaca daripada si fulan meriwayatkan daripada si fulan bahawa Rasulullah bersabda, “Tidak boleh dipertandingkan melainkan panah memanah (bermain senjata) dan burung merpati.” Lalu Khalifah menghadiahkannya 1,000 dirham. Kemudian Khalifah

berkata, “Aku bersaksi bahawa anda telah berbohong kepada Rasulullah.” Kemudian beliau mengarahkan supaya merpati itu disembelih dan meninggalkan hobi tersebut. Hadis yang diriwayatkan adalah benar tetapi ditambah dengan perkataan “burung merpati”20.

b) Tukang Cerita

Para penglipur lara yang mencari rezeki melalui bercerita dengan menyandarkan cerita mereka kepada Rasulullah seperti hadis, “Sesiapa yang mengucapkan kalimah لا اله الا الله, maka Allah akan menciptakan untuknya bagi setiap perkataan seekor burung yang mempunyai muncung daripada emas dan bulunya daripada permata mutiara.”

Salah seorang dari mereka dikenali sebagai Maisarah bin Abd Rabbah. Beliau ditanyakan dari manakah diambil hadis ini? Jawabnya, “Aku menciptakannya untuk menggalakkan manusia kepadanya.”21

c) Orang-orang yang mencari rezeki

Demi melariskan jualan barangan, peniaga sanggup mencipta hadis palsu menunjukkan kebaikan barang tersebut seperti yang dilakukan oleh Muhammad bin Hajjaj al-Lakhamiy mencipta hadis menunjukkan keistimewaan sejenis bubur yang kononnya diriwayatkan oleh Huzaifah dengan Rasulullah bersabda, “Jibril telah memberikan saya bubur harisah untuk menguatkan dengannya belakang saya untuk mengerjakan qiyamulail.”22

d) Kepentingan Peribadi

Muhammad bin Abd Malik al-Ansari seorang yang buta telah mencipta sebuah hadis demi kepentingan peribadinya dengan menonjolkan kelebihan memandu orang buta. Beberapa pereka hadis berbentuk ini termasuklah Sa’ad bin Tariq al-Iskaf dan Nafi’ bin al-Harith Daud al-A’ma23.

e) Mematahkan hujah lawan dan menguatkan alasan sendiri dalam debat dan diskusi

Ada di kalangan yang mendakwa berilmu, telah dengan berani sekali mencipta hadis palsu bertujuan mempertahankan penadapatnya. Ini berlaku dalam majlis-majlis ilmu dan perdebatan24.

f) Orang-orang yang mencari nama dan kemasyhuran25

Keghairahan mencari kemasyhuran sebagai perawi hadis yang banyak meriwayatkan hadis mendorong mereka membuat hadis-hadis palsu tanpa memikirkan implikasi yang akan menimpa Islam dan umatnya. Imam al-Hafiz Ibn al-Jauzi menyenaraikan tidak kurang daripada 30 orang tokoh utama golongan ini termasuklah yang disebut di awal penulisan ini.

Al-Imam an-Nasa’i menyebut 4 orang pembohong yang masyhur pembuat hadis iaitu, Ibn Abi Yahya di Madinah, al-Waqidi di Baghdad, Muqatil bin Sulaiman di Khurasan dan Muhammad bin Sa’id al-Mashhlub di Syam. Para ahli hadis mengatakan al-Juwaibari, Ibn ‘Ukkasyah dan Muhammad bin Tamim al-Faryabi masing-masing telah membuat 10,000 hadis mauduk.

Terdapat tiga cara bagaimana mereka membuat hadis palsu iaitu membuat hadis dengan lafaz sendiri seperti hadis حب الوطن من الايمان(cintakan tanah air sebahagian daripada iman); mengambil perkataan salafus soleh dan hukama’ disandarkan kepada nabi; dan perawi mengambil hadis daif sanadnya lalu dibuat sanad yang lain yang sahih supaya yang daif itu kelihatan sahih.

CIRI-CIRI HADIS MAUDUK

Hadis-hadis tersebut dapat dikenali pada sanadnya dan juga matannya. Di antara ciri-ciri26 utamanya:-

1. Pengakuan yang dibuat oleh pembuatnya seperti yang diakui oleh Ibn Auja’.

2. Perawinya terkenal pembohong sedangkan hadis yang diriwayatkannya tidak diriwayatkan oleh perawi lain yang kepercayaan.

3. Ia bertentangan dengan fakta sejarah seperti ia meriwayatkan hadis dari guru yang tidak pernah dijumpainya atau pun perawi tersebut dilahirkan setelah ‘gurunya’ meninggal dunia. Ciri-cirinya antara lain,

i) Makna hadis tidak bertepatan dengan usul Islam.
ii) Hadis tersebut tidak terdapat dalam kitab-kitab yang muktabar.
iii) Hadis yang berlawanan dengan kaedah Islam.
iv) Hadis yang bertentangan dengan dalil-dalil Al-Qur’an dan Hadis.

4. Matannya mengandungi perkataan dan ayat-ayat yang jelik dan janggal di samping maknanya yang rosak.

HADIS MAUDUK MASYHUR YANG TERSEBAR DALAM MASYARAKAT

Kedapatan hadis mauduk atau palsu yang begitu masyhur dalam masyarakat Islam umumnya dan masyarakat Malaysia khususnya yang menjadi pengamalan dan buah mulut, kadang-kadang melibatkan para guru agama, guru-guru pondok, cendekiawan Islam dan juga ulama. Sebahagian besarnya boleh disifatkan sebagai tidak disengajakan.

Di sini dikemukakan beberapa contoh hadis tersebut untuk menjadi peringatan dan renungan supaya kita berhati-hati untuk tidak menyandarkan sesuatu yang bukan datang daripada Rasulullah kepada baginda, kalau tidak kita akan menerima padahnya di akhirat.

a) Azan dan qamat

Ertinya: Barang siapa yang dilahirkan baginya seorang anak lalu ia mengazankan telinga kanannya dan qamat pada telinga kirinya, maka anak ini tidak akan terkena gangguan syaitan.

Hadis ini adalah mauduk, diriwayatkan oleh Ibn Sunni dalam kitab ‘Amalul Yaumi wa Lailah halaman 200. Juga diriwayatkan oleh Ibn Asakir dari jalan Abi Ya’ala dan Ibn Musran dan lain-lainnya. Muhammad Nashruddin al-Bani mengatakan sanad hadis ini mauduk27.

b) Menuntut Ilmu

Ertinya: Tuntutlah ilmu walau di negeri China.

Hadis ini juga terkenal dan menjadi hujah mengenai kepentingan ilmu. Hadis ini dikategorikan sebagai batil ( باطل ) dan bukan ucapan Rasulullah. Hadis ini diriwayatkan oleh Ibn ‘Adi dalam kitabnya juz kedua, halaman 207; dan oleh Ibn Nu’aim dalam kitab Akhbaru Asbahan juzuk kedua, halaman 106, juga oleh al-Khatib dalam kitab Tarikhul Baghdadi. Kesemua riwayat melalui al-Hasan bin ‘Athiyyah tetapi dalam sanadnya ada rawi yang bernama Abu ‘Atikah dan dia termasuk dalam rawi yang matruk (ditolak).

Rawi inilah yang meriwayatkan dengan ada tambahan ولو بالصين (walau di negeri China). Imam Bukhari mengatakan: Abu ‘Atikah yang tersebut dalam sanad ini adalah yang suka meriwayatkan Mungkar, manakala Iman Nawawi pula mengatakan rawi ini adalah yang tidak kepercayaan ( ليس بثقة )28

c) Tauhid

Ertinya: Barang siapa yang mengenal dirinya, maka sesungguhnya dia kenal pada Tuhannya.

Hadis ini juga masyhur dalam pengajian-pengajian ilmu tauhid. Ulama hadis meletakkan hadis ini sebagai ‘tidak ada asalnya’ ( لا اصل له ). Al-Hafiz as-Sakhawi memasukkan hadis ini dalam kitab al-Maqosidul Hasanah, halaman 198. Al-Muzaffar bin al-Sam’ani mengatakan yang hadis

ini tidak pernah dikenal sebagai hadis marfu’ tetapi ia merupakan ucapan Yahya bin Mu’az al-Razi. Ibn Taimiyyah mengatakan hadis ini mauduk (palsu).

Al’Alamah al-Fairuz menyebut perkataan ini bukan sabda Nabi tetapi masyhur di merata tempat dan sebahagian orang telah menjadikannya dalil dan hujah, dan anehnya mereka mengatakannya sebagai sabda Nabi29.

d) Asabiah

Ertinya: Cinta tanah air adalah sebahagian daripada iman.

Hadis ini banyak digunakan oleh golongan yang ingin mempertahankan fahaman asabiah. Ulama hadis meletakkan hadis ini di taraf palsu (mauduk). Imam al-Saghghani dan lain-lainnya mengatakan hadis ini hadis mauduk.

Makna hadis ini tidak benar kerana sesungguhnya cintakan tanah air setaraf dengan cintakan harta, diri sendiri, anak-anak dan sebagainya. Semua yang disebut itu adalah termasuk dalam perkara naluri atau gharizah yang tidak akan ada pujian bagi yang mencintainya, dan yang demikian itu bukan termasuk daripada bahagian iman kerana ia dipunyai oleh semua manusia sama ada Islam atau kafir30.

e) Doa

Ertinya: Doa adalah senjata orang Mukmin, tiang bagi agama dan cahaya langit dan bumi.

Hadis ini cukup popular bertujuan untuk menggembirakan orang Islam yang putus harapan dengan hanya berdoa, sedangkan kita disuruh berusaha kemudian barulah bertawakal kepada Allah. Ulama hadis menyifatkan hadis ini sebagai mauduk atau palsu. Hadis ini diriwayatkan oleh Ibn ‘Adi, Hakim dan al-Qudla’i

daripada jalan al-Hassan bin Hammad az-Zlibi daripada Muhammad bin Hasan al-Zubair al-Hamdani daripada Jaafar bin Muhammad bin Ali bin al-Husain daripada ayahnya daripada datuknya, daripada Ali r.a. Kemudian Imam Hakim mengatakan hadis ini hadis sahih tetapi Imam Muhammad Nashruddin al-Bani menolaknya berdasarkan beberapa alasan berikut:-

a. Hadis ini terdapat sanadnya ada yang putus, sebagaimana kata a-Zahabi sendiri dalam kitabnya Mizan al-I’tidal iaitu antara rawi yang bernama Ali al-Husain dengan datuknya Ali bin Abi Talib.

b. Ada rawi yang bernama Muhammad Hasan al-Hamdani. Rawi ini bukan yang dimaksudkan sebagai kepercayaan sebagaimana pendapat Imam Hakim tetapi rawi ini ialah Muhammad bin al-Hasan bin Abi Yazid al-Hamdani seorang pendusta berdasarkan alasan iaitu; Al-Zahabi sendiri telah menjelaskan hadis dengan mengutip pendapat dari Ibn Ma’in dan lain-lainnya yang mengatakan rawi tersebut adalah pendusta,

begitu juga pendapat Ibn ‘Adi; dan Hadis ini disebut dalam kitab al-Haitsami ‘al-Majma’, kemudian beliau berkata: Diriwayatkan oleh Abu Ya’la tetapi dalam sanadnya ada rawi yang bernama Muhammad bin al-Hasan bin Abi Yazid seorang rawi yang matruk (ditolak).

Ada hadis lain yang darjatnya sahih iaitu, “Doa itu adalah otaknya ibadah.” Oleh itu jika benar hadis di atas itu palsu, cukuplah kita beramal dengan hadis ini dan juga ayat-ayat Quran yang menggalakkan kita berdoa31.

f) Fadilat Ramadhan

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini satu hadis tentang kelebihan tarawih pada malam-malam Ramadhan telah tersebar dengan meluas sekali. Media-media elektronik, media-media cetak serta media-media massa turut sama memainkan peranan mereka menyebarkannya melalui akhbar-akhbar, diari-diari Islam, TV,

radio, risalah-risalah dan lain-lain dengan harapan semoga mereka mendapat saham dalam usaha menggalakkan umat Islam supaya rajin beramal ibadat terutamanya dalam bulan yang diberkati itu. Hadis yang dimaksudkan itu ialah satu hadis yang agak panjang kononnya diriwayatkan oleh Sayidina Ali r. a. yang sebahagian darinya adalah seperti berikut:-

Diriwayatkan oleh Sayidina Ali bahawa Rasulullah s. a. w. telah bersabda berkenaan dengan fadilat sembahyang tarawih pada bulan Ramadhan antaranya:

Ø Malam Pertama: Keluar dosa-dosa orang mukmin pada malam pertama seperti mana dia baru dilahirkan (mendapat keampunan daripada Allah Taala).
Malam Keempat: Mendapat pahala sebagaimana pahala orang-orang yang membaca kitab Taurat, Zabur, Injil dan al-Quran.

Ø Malam Keenam: Allah kurniakan pahala kepadanya pahala malaikat-malaikat yang tawaf di Baitul Makmur (sebanyak 70 ribu malaikat sekali tawaf), serta setiap batu-batu dan tanah akan mendoakan supaya Allah mengampuni dosa-dosa orang yang mengerjakan sembahyang tarawih pada malam ini.

Ø Malam Ketujuh: Seolah-olah dia dapat bertemu serta menolong Nabi Musa a.s menentang musuh ketatnya Firaun dan Haman.

Ø Malam Kelapan: Allah mengurniakan pahala orang sembahyang tarawih seperti yang telah dikurniakan kepada Nabi Ibrahim a.s.

Ø Malam Kesembilan: Allah kurniakan pahala dan dinaikkan mutu ibadat hambanya seperti Nabi Muhammad s.a.w.

Ø Dan kelebihan-kelebihan seterusnya sehingga sampai ke malam yang ketiga puluh.

Hadis ini tidak ditemui dalam mana-mana kitab induk hadis termasuk Sunan Sittah, bahkan kitab-kitab hadis palsu (maudhu`at) sendiri pun tidak didapati hadis ini. Ini menunjukkan bahawa hadis ini merupakan satu hadis yang baru diada-adakan sehingga ulama-ulama hadis dahulu yang menulis tentang hadis mauduk pun tidak mengetahui akan wujudnya hadis ini. Kita tidak menafikan kelebihan sembahyang tarawih dan kedudukannya di dalam sunnah.

Namun begitu kita tidak mahu umat Islam tertipu dengan berbagai-bagai janji palsu yang menyebabkan umat Islam mengerjakan amalan-amalan kebaikan dengan mengharapkan sesuatu yang sebenarnya tidak akan diperolehnya. Dengan tersebarnya hadis-hadis palsu seumpama ini juga akan mencemarkan kesucian hadis Rasulullah s. a. w. yang dipelihara dengan begitu baik oleh ulama-ulama kita dahulu.

Rasulullah s.a.w telah pun memberikan amaran terhadap orang-orang yang mengadakan pendustaan atas namanya dengan ancaman yang berat sebagaimana sabdanya Barang siapa sengaja mengadakan dusta atas nama-ku maka hendaklah dia menyediakan tempatnya dalam neraka ( Muttafaqun ‘alaih).

Hadis ini diriwayatkan dengan banyak sekali sehingga sampai ke peringkat Mutawatir. Ancaman ini merangkumi segala jenis pendustaan ke atas Nabi s.a.w sama ada dengan maksud memberi galakan supaya rajin beramal ibadat ataupun ancaman supaya menjauhi segala larangan Allah (taghrib dan tarhib).

Mulla Ali Qari dalam Al-Asrarul-Marfu'ah selepas membawakan lebih dari seratus riwayat hadis tentang pendustaan atas nama Nabi Muhammad s.a.w menukilkan kata-kata Imam Nawawi dalam syarah Muslim.

Kata Imam Nawawi: Haram meriwayatkan sesuatu hadis palsu (mauduk`) bagi orang yang mengetahui bahawa hadis itu mauduk atau dia hanya menyangka hadis ini mauduk. Siapa yang menceritakan hadis yang dia tahu atau dia sangka bahawa ianya mauduk serta dia tidak menerangkan keadaannya maka dia termasuk dalam ancaman ini.

Katanya lagi, tidak ada perbezaan dalam pengharaman pendustaan atas Nabi Muhammad s.a.w di antara hadis tentang hukum-hukum dan hadis yang bukan berkenaan dengan hukum seperti hadis yang mengandungi dorongan serta galakan beramal ibadat, hadis-hadis nasihat dan lain-lain.

Semuanya haram termasuk dalam sebesar-besar dosa dan sejelik perkara dengan ijmak ulama Islam seterusnya dia berkata: Ulama-ulama telah pun sepakat tentang haram berdusta atas nama orang-orang biasa.

Bagaimana pula dengan orang yang kata-katanya adalah syariat, kalamnya adalah wahyu dan berdusta atasnya adalah pendustaan atas Allah juga. Firman Allah bermaksud: Tidaklah dia mengucapkan mengikut kemahuan hawa nafsunya. Apa yang diucapkan tidak lain melainkan wahyu yang diwahyukan.
(An-Najm: 3-4).

Di dalam hadis tersebut nampaknya ada galakan supaya umat Islam rajin untuk melakukan amalan tarawih dalam bulan Ramadhan seperti mana kita sering dapati hadis ancaman terhadap orang yang meninggalkan sembahyang yang mana sebenarnya hadis itu pun telah di reka atas nama nabi Muhammad s.a.w seperti contoh satu hadis yang sebahagian darinya berbunyi:

Jika seseorang itu meninggalkan sembahyang zuhur dosanya adalah seperti dia berzina dengan ibunya sendiri. Jika dia meninggalkan sembahyang asar dosanya adalah seperti meruntuhkan Kaabah.

Adakah tidak cukup dengan janji ganjaran dari Allah bagi orang yang menghidupkan malam Ramadhan yang terdapat dalam kitab hadis sahih contohnya hadis yang bermaksud: Sesiapa yang menghidupkan malam Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran dari Allah diampunkan dosa-dosanya yang lalu. (al-Bukhari)

Tidak cukupkah dengan ancaman terhadap orang yang meninggalkan sembahyang yang terdapat dalam al-Quran antaranya firman Allah yang bermaksud: Apakah yang menyebabkan kamu dimasukkan ke dalam neraka sakar? Mereka menjawab: Kami dahulu termasuk orang yang tidak mengerjakan sembahyang. (Al-Muddatsir)

Sebenarnya bagi mereka yang suka menghidupkan malam Ramadhan tidak mesti dengan adanya hadis rekaan yang seperti ini mereka akan bersungguh-sungguh dalam menghidupkan amalan tarawih ini. Dan orang yang malas bersembahyang bawalah hadis yang bagaimana teruk sekalipun seksaannya namun mereka tetap tidak mahu mengerjakannya.

Di antara ciri-ciri hadis mauduk (rekaan/palsu) bagi hadis ini, daripada segi zahirnya selain meneliti sanad perawinya ialah;

1. Kelebihan yang disebutkan menyamai atau mengatasi kelebihan yang terdapat pada para sahabat nabi kita Muhammad s.a.w atau orang yang berjuang bersama dengan nabi-nabi. Ia menunjukkan suatu kejanggalan.

2. Kelebihan yang terdapat di dalamnya tidak sepadan dengan amalan yang dilakukan di mana ia menyalahi apa yang terdapat dalam syariat sebagaimana tersebut dalam Al-Quran dan hadis-hadis sahih.

3. Kandungannya serta ertinya rapuh, tidak menyerupai kalam Nabi Muhammad s. a. w. dan lafaznya tidak sesuai keluar dari mulut Nabi seperti mana yang terdapat dalam hadis-hadis sahih.

4. Di dalam setengah risalah yang terdapat hadis ini, ianya dimulai dengan "Ya Ali" sedangkan ulama-ulama hadis telah mengatakan bahawa hadis-hadis yang dimulai dengan kata-kata ini hanya dua atau tiga sahaja yang sahih. Yang lainnya adalah palsu.

Banyak lagi hadis-hadis mauduk yang lain yang begitu masyhur yang kita dengari dalam nasyid-nasyid malah dalam siaran radio di negara kita seperti hadis berikut:-

"Bekerjalah kamu untuk dunia-mu seolah-olah engkau hidup untuk selama-lamanya dan beramallah untuk akhirat-mu seolah-olah engkau akan mati esok.”

Ulama dan pengkritik hadis mengkategorikan hadis ini, لا اصل له32 (tidak ada asalnya).

CARA MEMBASMI PENYEBARAN HADIS MAUDHU’

1- Menyebarkan kepada khalayak ramai hadis-hadis yang SAH dari Rasulullah SAW beserta terjemahannya.
2- Menyeberkan kpd orang ramai risalah-risalah mengenai Hadis-hadis maudhu’ dan amaran bahayanya kepada iman dan Islam.
3- Mengadakan majlis penerangan dan khutbah Jumaat khusus mengenai keburukan hadis maudhu’.
4- Mengadakan kursus kepada guru-guru agama, mubaligh Islam, imam-imam dan petugas Islam mengenai selok-belok ulum hadis dan hadis-hadis maudhu’.
5- Mempastikan khutbah Jumaat yang dibaca bebas daripada hadis maudhu’.
6- Mempastikan buku teks di sekolah, pondok-pondok, masjid, surau dan buku bacaan umum bebas daripada hadis maudhu’.
7- Membuat kajian terhadap buku-buku ilmiah lama dan baharu yang berada di pasaran dan orang ramai bebas daripada hadis maudhu’.
8- Mengadakan seminar ulum hadis bagi mendalami ilmu hadis.
9- Mengharamkan buku-buku yang mengandungi banyak hadis-hadis maudhu’.
10- Memperluaskan dan mempertingkatkan pengajian-pengajian ulumul hadis di sekolah-sekolah, pondok-pondok, madrasah, masjid, surau dan institusi pengajian tinggi dan sebagainya.
11- Mengenakan hukuman takzir yang keras terhadap orang yang menyebarkan hadis maudhu’ secara lisan mahupun tulisan.
12- Dan lain-lain cara yang sesuai dan berkesan.



KESIMPULAN

Sebenarnya untuk mengenal yang mana satu hadis mauduk (palsu) bukan suatu perkara yang senang, hanya Ahli hadis yang benar-benar pakar dalam ilmu matan (lafaz) hadis serta perawi hadis. Ulama telah membukukan hadis-hadis mauduk di dalam kitab. Jadi cara mudah untuk mengetahui satu-satu hadis itu sama ada ianya benar-benar hadis ataupun bukan hadis dengan merujuk kepada kitab-kitab hadis mauduk. Antara kitab hadis mauduk ialah:-

i. Kitab Al-Maudu’uat oleh Imam Ibnu Al-Jauzi.
ii. Al-Masnu’ fi makrifatil hadis Al-maudhu oleh Imam Al-Qari.
iii. Al-Laali’ul al-Maudhu’ah fil Ahaadith al-maudhu’ah oleh As-Sayuti.
iv. Al-manaarul muniff fis sohiih wadh dhoi’iif oleh Ibn Qayyim al- Jauziyyah

Kejahilan masyarakat tentang ilmu Islam terutamanya ilmu hadis akan menyebabkan umat Islam mengamalkan hadis-hadis mauduk (palsu) yang akan memesongkan akidah dan amalan, memecahbelahkan umat Islam sehingga mudah diratah oleh musuh Islam seperti apa yang berlaku hari ini,

menambahkan lagi gejala fitnah di kalangan umat dan mengakibatkan mereka tidak dapat membezakan yang mana benar yang mana salah. Oleh sebab itulah para ulama telah berusaha untuk membasmi dan mencegah hadis mauduk melalui memberi sanad hadis dan mengkategorikan hadis-hadis. Semoga kita terlindung daripada mengatakan sesuatu yang bukan datang daripada Rasulullah s.a.w.


Rujukan & Sumber :
Sumber asal – Drs. Abdul Ghani Azmi bin Hj Idris.(1996). Himpunan Hadis Dha’if dan Maudhu’, Kuala
Lumpur : Pustaka alhidayah.
Sumber internet Saduran - http://idhamlim.blogspot.com/2010/12/hadis-mauduk-dan-pengamalannya-dalam.html


0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Blogroll

Anda Pengunjung ke

View My Stats

Site Info

Text

Misri Hj Bohari Blog Copyright © 2009 WoodMag is Designed by Ipietoon for Free Blogger Template