Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
“AMALAN BERSEDEKAH MEMBAWA BERKAT ”
(8 APRIL 2011 / 4 JAMADILAWAL 1432H)
Sidang Jamaah Yang di Rahmati Allah,
Di kesempatan berada pada hari Jumaat yang mulia ini, saya berpesan kepada diri saya dan kepada sidang Jumaat sekalian marilah sama-sama kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita memperolehi keberkatan dan keredhaan serta perlindungan Allah SWT di dunia dan di akhirat. Mimbar pada hari ini akan menyampaikan khutbah bertajuk: “AMALAN BERSEDEKAH MEMBAWA BERKAT ”.
Muslimin Yang di Rahmati Allah,
Menurut al-Sheikh Ali al-Jumu’ah , sedekah dalam istilah yang umum mempunyai beberapa makna, iaitu:
1. Sedekah yang diwajibkan oleh Shara’ ke atas harta. (Zakat harta atau al-amwal)
2. Sedekah yang diwajibkan oleh Shara’ ke atas (badan) individu. (Zakat fitrah/al-abdan)
3. Sedekah yang diwajibkan oleh seseorang ke atas diri sendiri, iaitu sedekah yang
wajib kerana nazar.
4. Sedekah yang diwajibkan kerana hak Allah SWT seperti fidyah dan kaffarah.
5. Sedekah secara sukarela ( الطوع) yang disunatkan oleh Shara’.
Menurut al-Sheikh Ali al-Jumu’ah dan Dr Wahbah Al-Zuhaily ,sedekah merupakan pemberian dengan tujuan bertaqarrub kepada Allah SWT dengan menolong orang yang memerlukan pertolongan. Ia suatu sunnah dan amalan para sahabat yang sangat mulia.
Tuntutan bersedekah ini tidak ada ertinya tanpa kita yang bersedekah menyandarkan niat yang ikhlas kerana Allah SWT demi untuk kebajikan pihak yang memerlukan dan tidak mengharapkan pujian atau balasan, bahkan semata-mata untuk mencari keredhaan Allah SWT dan menjunjung ketaatan kepada-Nya serta memupuk kasih sayang kepada manusia dan masyarakat seluruhnya. Keutamaan bersedekah ini amat digalakkan oleh Islam dan telah dijelaskan oleh Allah SWT di dalam surah al-Baqarah ayat 261:
Bermaksud: “Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai, tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaNya, lagi meliputi ilmu pengetahuanNya”.
Berdasarkan ayat ini kurniaan ganjaran sedekah memiliki pulangan yang tidak boleh dinilai harganya di dunia dan di akhirat.
Sabda Nabi Shallallaahu ‘Alaihi wa Sallam:“Orang yang murah hati dekat kepada Allah, dekat kepada syurga dan dekat kepada manusia. Dan orang yang murah hati itu jauh dari neraka.Sedangkan orang yang kikir jauh dari Allah, jauh dari syurga, jauh dari manusia, dan dekat kepada neraka.Orang yang bodoh tapi pemurah, lebih disukai Allah dari pada orang yang ta’at beribadah tapi kikir.” (HR. imam Turmidzi).
Ini dikuatkan lagi melalui firman Allah SWT di dalam surah Saba’ ayat 39:
Bermaksud: “Katakanlah (Wahai Muhammad): "Sesungguhnya Tuhanku memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakiNya di antara hamba-hambaNya, dan ia juga yang menyempitkan baginya, dan apa sahaja yang kamu dermakan maka Allah akan menggantikannya, dan Dialah jua sebaik-baik Pemberi rezeki.
Muslimin Yang di Rahmati Allah,
Untuk mencari keredhaan dan keberkatan Allah SWT dalam amalan bersedekah atau menderma kita hendaklah mematuhi peraturan dan adab tertentu antaranya ialah hendaklah merahsiakannya dalam bersedekah dan itu lebih baik daripada menzahirkannya walaupun ikhlas. Firman Allah SWT di dalam surah al-Baqarah ayat 271:
Bermaksud: “Kalau kamu zahirkan sedekah-sedekah itu (secara terang), maka yang demikian adalah baik (kerana menjadi contoh yang baik). Dan kalau pula kamu sembunyikan sedekah-sedekah itu serta kamu memberikannya kepada orang-orang fakir miskin, maka itu adalah lebih baik bagi kamu, dan Allah akan menghapuskan daripada kamu sebahagian dari kesalahan-kesalahan kamu. Dan (Ingatlah) Allah amat mengetahui secara mendalam akan apa yang kamu lakukan”.
Apa yang dilakukan oleh ulama’ salaf, kita dapati mereka merahsiakan sedekah mereka daripada pengetahuan manusia dan masyarakat umum, hinggakan ada di antara mereka sengaja mencari orang fakir dan miskin yang buta. Mereka memberi sedekah kepada golongan itu supaya tidak diketahui siapakah yang memberinya. Mereka juga memberi derma atau sedekah dengan memasukkan atau mengikatnya kepada seseorang si fakir atau miskin pada pakaiannya ketika sedang tidur.
Ibnu Abil Ja’ad berkata: “Sedekah itu menutup tujuh puluh pintu keburukan dan keutamaan antara sedekah secara terang-terangan dengan yang disembunyikan itu ialah bahawa yang kedua lebih utama dari yang pertama dengan tujuh puluh kali ganda”.
Kita dituntut mendermakan daripada harta milik kita yang paling baik dan daripada benda-benda yang kita sayangi dan menghulurkannya dengan wajah yang berseri-seri dalam keadaan gembira bukannya dengan muka yang masam atau kecewa.
Kita hendaklah menghindarkan diri daripada sifat ungkit-mengungkit sehingga boleh menyakiti hati orang yang diberi sedekah. Menurut Imam Sufian Ath-Thauri: “Sesiapa yang mendermakan sesuatu atau daripada sesuatu yang diharamkan, ia diumpamakan seperti seseorang yang membersihkan pakaian dengan air najis atau kencing. Tentulah pakaian itu tidak akan bersih, kecuali dengan air yang suci, begitulah juga dosa itu tidak dapat dihapuskan kecuali dengan yang halal”.
Muslimin Yang di Rahmati Allah,
Mereka yang diberkati sedekahnya akan mendapat penghormatan yang tinggi daripada Allah SWT dan malaikat sentiasa mendoakan kebaikan kepadanya. Hadith Rasulullah SAW:
Bermaksud: “Tidaklah seseorang muslim yang memberi pakaian kepada orang muslim yang lain, kecuali ia di dalam lindungan Allah SWT selama pakaian itu masih ada, sekalipun sehelai kain”. (Riwayat al-Tirmizi)
Mimbar ingin menegaskan bahawa keutamaan sedekah hendaklah diberikan kepada orang yang bertakwa, ahli ibadat, kalangan orang fakir atau miskin, kaum kerabat kita yang memerlukannya dan sebagainya. Menurut Nabi Muhammad SAW apabila kita memberi sedekah kepada kaum kerabat, kita akan memperolehi dua pahala iaitu pahala menghubungkan silaturrahim dan pahala sedekah itu sendiri.
Enam perkara asas yang perlu dielakkan oleh seorang Muslim dalam infaq ataupun bersedekah :
1. Al-Tabzir : Membelanjakan harta dalam perkara yang haram.
2. Al-Israf : Berlebih-lebihan (melampau) berbelanja dalam perkara yang harus.
3. Al-Taqtir : Menyempitkan ruang infaq kurang daripada yang sepatutnya.
4. Al-Bukhl : Kedekut untuk menginfaq harta miliknya.
5. Al-Shuhh : Kedekut untuk menginfaq harta miliknya atau milik orang lain ke
arah kebajikan dan kebaikan.
6. Kanz al-mal :Tidak melaksanakan kewajipan harta seperti mengeluarkan zakat.
Mengakhiri khutbah pada minggu ini, mimbar menyeru marilah sama-sama kita mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan mengamalkan amalan yang mulia ini dengan membantu sesama kita. Dengan kita bersedekah, mengeluarkan zakat serta membayar cukai, mudah-mudahan hidup kita sentiasa diberkati oleh Allah SWT. Marilah sama-sama kita merenung firman Allah SWT di dalam surah al-Baqarah ayat 264:
Bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! jangan rosakkan (pahala amal) sedekah kamu dengan perkataan membangkit-bangkit dan (kelakuan yang) menyakiti, seperti (rosaknya pahala amal sedekah) orang yang membelanjakan hartanya kerana hendak menunjuk-nunjuk kepada manusia (riak), dan ia pula tidak beriman kepada Allah dan hari akhirat ”.