Selasa, 28 Julai 2009

Hadis Kelebihan Bulan Syaaban

1) “Bahawasanya Nabi SAW paling banyak berpuasa (sunat) dalam bulan Syaaban. Apabila ditanyakan kepada baginda tentang itu, maka baginda pun menjawab: Orang biasa melupakan bulan itu (Syaaban) yang berada di antara bulan Rejab dan Ramadhan. Ia merupakan bulan yang diangkat segala amalan kepada Tuhan Seluruh Alam dan aku suka jika amalanku diangkat ketika aku berpuasa”.
(Direkodkan oleh Imam Ahmad dan An-Nasai)

Beberapa hadis tentang Malam Pertengahan Bulan Syaaban:

1) “Allah melihat kepada hamba-hamba-Nya pada malam pertengahan bulan Syaaban, maka Dia ampuni semua hamba-hambaNya kecuali musyrik (orang yang syirik) dan yang bermusuh (orang benci membenci)”.
(Direkodkan oleh Ibnu Majah. Imam Sayuti kata: Hadis Lemah)

2) “Sesungguhnya Allah SWT turun pada malam pertengahan bulan Syaaban ke langit dunia maka diampunkan (dosa) yang lebih banyak dari rambut kambing Bani Kilab – Kabilah arab yang paling banyak kambing-”.
(Direkodkan oleh Imam Ahmad dan Thabrani. Berkata Imam Tirmizi: Imam Bukhari menyatakannya Hadis Lemah)

3) “Pada malam pertengahan bulan Syaaban, Allah menyampaikan wahyu kepada malaikat maut setiap orang yang akan dicabut nyawanya pada tahun itu”.
(Direkodkan oleh Ad-Dainuri. Imam Sayuti kata: Hadis Lemah)

4) Daripada Aishah RA berkata: Rasulullah SAW telah bangun malam dengan bersolat dan baginda telah memanjangkan sujudnya sehingga aku menyangka bahawa baginda telah dicabut nyawanya.

Apabila baginda mengangkat kepalanya dari sujud dan selesai dari solat, baginda bertanya kepadaku: “Wahai Aishah, adakah aku telah mengabaikanmu?”

Aku menjawab: “Tidak wahai Rasulullah, tetapi aku sangka engkau telah dicabut nyawa disebabkan lamanya engkau bersujud”.

Baginda pun berkata: “Tahukah engkau apakah malam ini?”

Aku menjawab: “Allah dan RasulNya yang lebih tahu”.

Baginda berkata: “Ini adalah malam pertengahan bulan Syaaban. Sesungguhnya Allah SWT melihat para hambaNya pada malam pertengahan bulan Syaaban, maka diampunkan orang yang memohon ampun, dirahmati orang yang meminta rahmat…”.
(Direkodkan oleh Baihaqi: Hadis Mursal)

5) “Apabila datangnya malam pertengahan bulan Syaaban, maka hendaklah kamu hidupkan malamnya (dengan beribadat) dan berpuasa pada siangnya. Sesungguhnya Allah SWT turun pada malam itu ketika terbenam matahari ke langit dunia seraya berkata: “Wahai orang yang memohon ampun, Aku ampunkan! Wahai orang yang memohon rezeki, Aku berikan rezeki! Wahai orang yang ditimpa musibah, Aku selamatkan! Wahai fulan itu, wahai fulan ini.. sehinggalah terbit fajar”.
(Direkodkan oleh Ibnu Majah: Hadis Lemah)

Kesimpulan fatwa ulama tentang Kelebihan Bulan Syaaban dan Malam Pertengahan Bulan Syaaban:

1- Memperbanyakkan berpuasa sunat pada bulan Syaaban kerana Nabi Muhammad SAW paling banyak berpuasa sunat pada bulan ini melebihi bulan-bulan yang lain.

2- Walaupun malam pertengahan bulan Syaaban terdapat beberapa kelebihan berdasarkan hadis-hadis yang lemah tetapi ia boleh diterima bagi menyatakan “Kelebihan Amalan”.

3- Tiada amalan khusus yang diberi nama sebagai “Puasa Nisfu Syaaban” tetapi digalakkan berpuasa sunat pada pertengahan bulan Syaaban berdasarkan hadis-hadis lain yang menggalakkan berpuasa pada 13, 14 dan 15hb setiap bulan.

4- Begitu juga tiada amalan khusus yang diberi nama “Solat Malam Nisfu Syaaban” tetapi digalakkan untuk menunaikan solat-solat sunat seperti Solat Sunat Mutlak, Solat Tasbih, Solat Hajat, Solat Tahajud dan Solat Taubat. Begitu juga dengan amalan-amalan lain seperti membaca Al-Quran, berzikir dan berdoa tanpa dikhususkan untuk malam itu.

5- Oleh kerana kelebihan malam pertengahan bulan Syaaban ini tidak didasarkan pada sumber hadis yang sahih, kuat dan jelas, maka amalan Nabi untuk bangun beribadat bukanlah khusus untuk malam itu sahaja kerana baginda memang diwajibkan bangun beribadat pada setiap malam.

6- Dari segi syarak, tidak harus mengkhususkan hari tertentu untuk berpuasa, atau malam tertentu untuk bangun beribadat (qiamullail) tanpa sumber yang syarie. Perkara ini bukan hak sesiapapun melainkan ia hanya hak Allah SWT sahaja. Mengkhususkan waktu atau tempat untuk beribadat dan menetapkan kaedah dan caranya, hanyalah hak Allah SWT, bukan hak manusia.

Lihat fatwa ulama oleh:
1- Syeikh Imam Dr Yusuf Al-Qardhawi (Pengerusi Kesatuan Ulama Islam Sedunia):
http://www.qaradawi.net/site/topics/article.asp?cu_no=2&item_no=6138&version=1&template_id=232&parent_id=17
2- Syeikh Athiyah Saqar (Al-Azhar, Mesir):
http://www.islamonline.net/servlet/Satellite?pagename=IslamOnline-Arabic-Ask_Scholar/FatwaA/FatwaA&cid=1122528607390

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Blogroll

Anda Pengunjung ke

View My Stats

Site Info

Text

Misri Hj Bohari Blog Copyright © 2009 WoodMag is Designed by Ipietoon for Free Blogger Template