PADA HARI TEMUDUGA:
- Pakailah pakaian yang sesuai, kemas lagi bersih.
Pelajar-pelajar lelaki perlu memakai tali leher. Jangan pakai pakaian yang
terlampau berwarna-warni dan menjolok mata, berselipar, serta menggunakan
minyak wangi dan alat-alat solek yang berlebihan. Elakkan memakai baju
batik dan T-shirt. Cuba bayangkan jika anda yang menemuduga, anda pasti
akan memilih calon yang berpakaian kemas.
- Pakailah kasut kulit. Elakkan kasut kain, kasut sukan
atau selipar.
- Rambut anda hendaklah pendek bagi lelaki dan kemas
disikat atau bertudung bagi perempuan.
- Pastikan anda ada membawa bersama-sama anda surat
panggilan temuduga, kas pengenalan, surat beranak, sijil-sijil asal,
dokumen-dokumen asal serta surat-surat akuan asal (jika ada) untuk disemak
oleh panel temuduga. Atur mengikut susunan yang dikehendaki dan
sebaik-baiknya difailkan supaya nampak lebih kemas dan teratur. (Jangan
digulung-gulung sijil anda).
- Tentukan di mana, bila dan pukul berapa temuduga itu
diadakan. Cuba untuk sampai antara 10 - 15 minit lebih awal supaya anda
punya cukup masa untuk berehat dan bertenang, tetapi jangan terlalu lama
sehingga anda berasa cemas pula. Jangan sekali-kali datang lambat.
- Apabila dipanggil masuk ke dalam bilik temuduga, anda
hendaklah mengetuk pintu terlebih dahulu sebelum masuk. Jangan berasa
gentar, masuk dengan hati yang tenang serta penuh yakin.
TINGKAHLAKU SEMASA
TEMUDUGA:
- Semasa hendak masuk ke bilik temuduga janganlah gentar.
Buat seperti biasa saja. Biasakan memberi ucapan ‘selamat pagi/selamat
petang’ mengikut pada keadaan waktu, atau ‘assalamualaikum’ sekiranya
panel temuduga itu beragama Islam.
- Jangan hulurkan tangan anda untuk berjabat tangan
selagi penemuduga itu tidak membuat gerakan dahulu, jika kiranya ia hendak
berbuat demikian.
- Jangan terus duduk melainkan telah dijemput berbuat
demikian. Apabila disuruh duduk, ucapkan terima kasih dan duduklah dengan
sempurna serta tegakkan badan. Jangan menggelisah.
- Jangan cuba hendak mengalih keadaan kerusi yang
disediakan.
- Serahkan dokumen-dokumen berkaitan apabila diminta.
Jangan anda meletakkan barang-barang lain, tangan ataupun siku anda di
atas meja penemuduga.
- Jangan duduk bersilang kaki. Jangan goyang-goyangkan
kaki ataupun menggerakkannya ke sana sini.
- Jangan cuba hendak menjenguk atau membaca surat-surat
dan lain-lain kertas yang terdapat di atas meja penemuduga.
- Biarkan penemuduga memulakan perbualan.
- Apabila bercakap pandanglah ke muka penemuduga itu.
- Jangan menjawab soalan-soalan dengan tergopoh-gapah.
Jawablah setiap soalan yang ditanya dengan terang dan jelas serta mudah
didengar. Jawapan yang diberi itu hendaklah tepat dan jangan bercakap
panjang lebar perkara yang tidak berkaitan. Jangan sekali-kali menggunakan
bahasa kasar. Bercakaplah dengan penuh rasa yakin dan tenang.
- Gunakan ganti nama seperti tuan/puan pada orang yang
menemuduga dari semasa ke semasa, tetapi jangan selalu sangat
menggunakannya pula. Apabila menyebut nama seseorang gunakan gelaran yang
terdapat pada nama orang tersebut seperti Tuan/Tan Seri/Dato’/ Dato’
Seri/Tuan/Puan/Encik dan sebagainya.
- Anda haruslah sentiasa bersopan santun biarpun ada
ketikanya soalan yang dikemukakan mungkin mencabar anda. Perkara semacam
ini selalunya disengajakan untuk melihat sejauhmana anda akan bertindak
terhadap keadaan atau situasi yang menekan.
- Tumpukan perhatian pada setiap soalan dan beri jawapan
atau tindakbalas yang tepat dan sempurna.
- Cuba kembangkan perbincangan pada tajuk/hal yang telah
menarik perhatian penemuduga, tetapi bersedialah membatasi mana-mana yang
dirasakan tidak menarik perhatian mereka.
- Anda mestilah bersedia dan berwaspada pada setiap
ketika. Hujahkan satu-satu ‘point’ itu dengan penuh semangat.
- Cuba kembangkan jawapan "ya" atau
"tidak" anda dengan sebab musabab yang munasabah.
- Jika anda tidak tahu jawapan kepada sesuatu soalan,
jangan cuba hendak berbohong ataupun mendiamkan diri sahaja kerana ini
nanti akan melemahkan peluan anda. Sebaik-baiknya anda berterus terang
yang anda tidak tahu jawapan bagi soalan berkenaan.
- Jangan menguyah sesuatu semasa temuduga sedang berjalan.
- Jangan sekali-kali cuba menyampuk semasa penemuduga
sedang bercakap atau berbincang sesuatu di antara mereka.
- Minta penjelasan sekiranya anda tidak begitu faham pada
soalan-soalan tertentu.
- Bersedia memberitahu penemuduga tentang keluarga,
persekolahan, kegemaran dsb., selaiin dari pilihan kerjaya dan pengajian
anda. Jangan bercakap berlebihan dan yang tidak sepatutnya. Jangan pula
berbincang apa-apa masalah peribadi anda semasa temuduga.
- Jangan menyeterui para penemuduga dengan sifat angkuh
atau sifat tidak acuh yang anda tunjukkan.
- Gunakan satu-satu bahasa tanpa campur-aduk dengan
bahasa lain. Sebagai contoh jangan gunakan, "I fikir problem ini
tidak dapat diselesaikan". Ataupun "You taulah, problem ini
begitu complicated". Sekiranya disoal dalam Bahasa Melayu, jawablah
dalam Bahassa Melayu dan sekiranya disoal dalam Bahasa Inggeris, anda
perlulah pula menjawab dalam Bahasa Inggeris.
- Cuba jawab semua soalan dengan tenang. Jangan cuba
menengking penemuduga. Mungkin soalan itu mudah dan tidak berkaitan. Umpamanya
jika ditanya berapa orang calon sedang menunggu di luar, itu tidak ada
kaitan dengan pilihan kerjaya anda. Tujuan soalan sedemikian dikemukakan
ialah untuk melihat sama ada anda ‘observant’ atau tidak.
- Biarkan penemuduga itu menamatkan temuduga.
- Di akhir temuduga, ucapkan terima kasih kepada panel
temuduga kerana memberi peluang kepada anda menghadiri temuduga itu.
Tambahan: Jika diberi peluang untuk bertanya soalan,
kemukakan soalan yang munasabah.
Sumber: SPP