Khamis, 9 Februari 2012

AWAS JERAT VALENTINE



Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
"AWAS JERAT VALENTINE"
(10 Februari 2012 / 17 Rabiulawal 1433H)


Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Saya berpesan kepada diri saya dan menyeru kepada sidang Jumaat yang dikasihi sekalian, marilah sama-sama kita bertakwa kepada Allah SWT dengan sebenar-benar takwa serta melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita mendapat keberkatan hidup di dunia dan di akhirat. Mimbar hari ini akan memperkatakan khutbah bertajuk: AWAS JERAT VALENTINE.
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Fenomena sebahagian remaja hari ini yang menjadikan Valentine’s Day sebagai perayaan paling diminati dan sangat-sangat ditunggu untuk diraikan bersama kekasih amat menggusarkan kita sebagai umat Islam. Menurut Ken Sweiger, perkataan “Valentine” berasal dari bahasa Latin yang mempunyai maksud “Yang Maha Perkasa, Yang Maha Kuat, dan Yang Maha Kuasa”. Menurutnya lagi, kata ini sebenarnya digunakan pada zaman Rom Kuno ditujukan kepada Nimrod dan Lupercus, tuhan orang Romawi. Sedar atau tidak, jika seseorang meminta orang lain atau pasangannya menjadi “To be my Valentine?”, maka dengan hal itu sesungguhnya ia telah secara terang melakukan suatu perbuatan yang bercanggah dengan aqidah umat Islam dan dimurkai Allah SWT. Ini kerana ia telah meminta seseorang menjadi “Sang Maha Kuasa” dan hal ini sama dengan usaha menghidupkan kembali budaya pemujaan berhala.
Berdasarkan kepada pandangan sebahagian besar tokoh- tokoh agama telah menyatakan bahawa menyambut atau meraikan Sambutan Hari Valentine ini adalah bertentangan dengan Syarak. Menurut Panel Kajian Aqidah (PKA) dan Panel Kajian Syariah (PKS) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia amalan ini adalah haram dan bertentangan dengan ajaran Islam. Begitu juga Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-71 yang bersidang pada 22 hingga 24 November 2005 memutuskan bahawa amalan merayakan Hari Valentine tidak pernah dianjurkan oleh Islam. Roh perayaan tersebut bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang oleh Islam.
Oleh itu, mimbar ingin menegaskan bahawa  pengharaman dan larangan ini bukanlah kerana ingin menghalang keseronokan di atas aktiviti trend baru zaman moden tetapi ianya berlandaskan kepada apa yang dinyatakan di dalam al-Quran dan as-Sunnah yang menjadi panduan umat manusia bagi mengecapi keindahan hidup di dunia dan di akhirat. Justeru mimbar menyeru kepada jemaaah sekalian dan umat Islam agar tidak merayakan hari tersebut kerana ianya bertentangan dengan ajaran Islam yang sebenar serta boleh merosakkan akidah dan akhlak umat Islam.
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Persoalan besar timbul ialah apakah yang menyebabkan gejala negatif seumpama ini terus berlaku?. Jawapannya ialah kerana kualiti keimanan umat Islam yang lemah dan kekaburan kita di dalam menegakkan prinsip-prinsip asas agama yang menjadi tunjang kehidupan seseorang muslim. Dengan ini kita terpesong dengan cara hidup yang sebenar. Kita juga jangan lupa bahawa syaitan dan sekutunya telah berjanji kepada Allah SWT untuk terus menyesatkan orang yang beriman.  Firman Allah SWT dalam surah an-Nisaa ayat 119:
Maksudnya:Dan sungguh, aku akan menyesatkan mereka, dan memperdayakan mereka dengan angan-angan kosong, dan menyuruh mereka membelah telinga binatang ternak; dan menyuruh mereka mengubah ciptaan Allah. Dan sesiapa yang mengambil Syaitan menjadi pemimpin yang dita'ati selain dari Allah, maka sesungguhnya rugilah ia dengan kerugian yang terang nyata".

Ingatlah bahawa agama Islam sangat mengambil berat dalam memperbetulkan pegangan akidah umatnya supaya pandangan dan sikap mereka menjadi lurus dan tasawwur mereka tentang sesuatu perkara menjadi jelas. Jangan kita mengikut contoh umat jahiliyah dahulu yang menganggap persoalan akidah hanya  sekadar mengumumkan identiti diri dan melahirkan perbuatan baik sahaja sedangkan hakikat iman ialah panduan antara keyakinan dihati tentang dasar-dasar akidah dengan melaksanakan perintah Allah SWT dan meninggalkan tegahan-Nya.  Firman Allah SWT dalam surah al-Hujurat ayat 15:
Maksudnya: Sesungguhnya orang yang benar-benar beriman ialah orang yang percaya kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian mereka tidak ragu-ragu lagi, serta mereka berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah; mereka itulah orang yang benar.

Ayat ini mengisyaratkan bahawa kualiti iman boleh diukur dan dinilai melalui amalan seharian. Banyak dan berkualitinya amal soleh seseorang itu, maka tinggilah kualiti iman yang dimiliki dan begitulah sebaliknya. Oleh itu, iman yang sebenar adalah merupakan penjana kekuatan dan kecemerlangan ummah.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Islam sebagai agama fitrah dan sempurna, sentiasa menganjurkan kasih sayang sesama umatnya. Ini dapat dilihat melalui apa yang diungkapkan di dalam Kitab al-Quran dan dijelmakan oleh Rasulullah SAW. Menzahirkan kasih sayang kepada kekasih perlulah ada batasan selaras dengan fitrah manusia. Kasih sayang diantara dua jantina berbeza tidak boleh hanya dengan janji manis di bibir. Tetapi ia perlu diikat dengan satu ikatan akad yang mampu menyimpul ikatan kukuh bagi menjamin zuriat, akhlak dan peribadi yang dinamakan sebagai perkahwinan. Keindahan dalam menzahirkan kasih sayang itulah yang dianjurkan oleh Islam dan perlulah disemai dan dibajai setiap hari tanpa perlu menunggu detik satu hari dalam setahun. Ingatlah bahawa kasih sayang yang utama adalah hanya kepada Allah SWT, rasul-Nya dan berjihad di jalan-Nya. Kasih sayang berlandaskan keimanan akan melahirkan cahaya keinsafan kepada hakikat diri dan pencipta-Nya sehingga sanggup berkorban dan mampu menundukkan hawa nafsu jahat. Firman-Nya dalam surah Al-Baqarah ayat 207:
Bermaksud: Dan di antara manusia ada Yang mengorbankan dirinya kerana mencari keredaan Allah semata-mata; dan Allah pula amat belas-kasihan akan hamba-hambanya.

          Justeru bagi menyelamatkan agama dan ummah dari terus musnah akibat impak amalan-amalan bertentangan dengan aqidah dan syariah, mimbar menyeru kepada semua pihak agar  mewar-warkan larangan Sambutan Valentine’s Day dari terus diraikan oleh umat Islam khususnya di negara kita ini, jangan kita terlibat dengan budaya songsang yang boleh melemahkan ummah dan menyesatkan. Wujudkanlah perasaan anti Valentine’s Day di dada dan minda, hadirkanlah rasa benci dan tidak akan meraikannya melalui penyertaan aktiviti-aktiviti yang menyalahi aqidah, syarak dan tamadun manusia. Mengakhiri khutbah pada minggu ini, sekali lagi mimbar menyeru semua pihak marilah sama-sama kita memperkasakan akidah kita, keluarga dan masyarakat kita demi masa depan agama, ummah dan negara dengan langkah berikut:
Pertama:    ibu bapa bertanggungjawab memastikan anak-anak dididik dengan ajaran Islam yang sebenar;
Kedua:       umat Islam khususnya remaja dilarang meniru amalan atau budaya kaum musyrik;
Ketiga:       menanam rasa cinta dan kasih sayang kepada Allah SWT dan rasul-Nya;
Keempat:   menjauhi aktiviti bergaul bebas dengan pasangan yang bukan mahram dalam menyambut majlis tertentu; dan
Kelima:      meninggalkan sambutan atau perayaan yang tiada dalam syariat Islam.

Firman Allah SWT dalam surah al-A'raf ayat 96:
Maksudnya: "Dan sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertakwa, tentulah Kami bukakan kepada mereka keberkatan dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami) lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan."

ayat 6


Continue Reading...

Khamis, 2 Februari 2012

Pembinaan JSU

Jadual Spesifikasi Ujian (JSU)

1.0 PENGENALAN
Sebelum sesuatu ujian hendak dibina, satu jadual penentu ujian mestilah dibentuk terlebih dahulu. Jadual ini dikenali sebagai Jadual Penentuan Ujian (JPU). JPU merupakan satu pelan ujian atau kerangka bagi satu ujian yang berkenaan. Disamping itu ia juga disebut sebagai test blue print khas untuk sesuatu situasi yang dibina bagi sesuatu kelas. Bagaimanapun JPU dibina hanya setelah pembina ujian menetapkan jenis dan kandungan ujian yang hendak dibina.

2.0 KONSEP JSU

Jadual penentuan ujian (JPU) dan sekarang dikenali sebagai jadual spesifikasi ujian (JSU), adalah satu senarai objektif pengajaran dan aras pemahaman yang hendak diuji dan menjadi satu panduan untuk menghasilkan satu set soalan yang mempunyai item-item soalan. Ia juga menghurai aspek-aspek pencapaian yang hendak diukur serta memberi panduan untuk mendapatkan satu sampel item-item soalan.

3.0 FUNGSI JSU

Fungsi utama pembinaan JSU adalah untuk :

☺ mengawal soalan-soalan yang akan dihasilkan
☺ menentukan kesahan dan kebolehpercayaan ujian
☺ menjadi garis panduan kepada penggubal soalan
☺ membolehkan perbandingan dibuat antara satu ujian dengan ujian yang lain
☺ menentukan pemberatan terhadap bidang/topik tertentu
☺ membolehkan ujian dibina oleh penggubal-penggubal lain
☺ menyelaras aras kesukaran ujian
☺ menstabilkan taraf dan mutu ujian

4.0 KEPENTINGAN JSU

• kertas ujian dapat digubal secara sistematik
• kesahan dari segi persampelan sukatan pelajaran adalah terjamin
• taburan soalan mengikut tajuk adalah seimbang
• ujian meliputi keseluruhan sukatan pelajaran
• aras kesukaran ujian dapat dikekalkan dari tahun ke tahun, walaupun item dibina oleh pembina lain.

5.0 CIRI-CIRI JSU

Ciri-ciri utama JSU ialah :
 penentuan tajuk
 aras kemahiran yang hendak diuji
 paksi menegak adalah tajuk atau isi pengajaran
 paksi mendatar adalah kemahiran atau konstruk, bilangan soalan, dan menentukan kesahan setiap ujian

6.0 PENGGUNAAN TAKSONOMI BLOOM DALAM JSU

Biasanya JPU dibuat berdasarkan Taksonomi Bloom (1956) iaitu berdasarkan kepada domain kognitif yang disusun mengikut hierarki yang mengandungi enam aras kesukaran iaitu pengetahuan, kefahaman, aplikasi, analisis, sintesis dan penilaian. Pun begitu bagi mata pelajaran pendidikan moral JPU dibuat berdasarkan kepada pendekatan-pendekatan pendidikan moral iaitu pemupukan nilai, bertimbang rasa, rasional, tindakan sosial, perkembangan moral kognitif, penjelasan nilai dan analisis nilai.

Aras kemahiran domain kognitif Contoh kata tugas yang boleh digunakan
i. Pengetahuan

Mengingat kembali Takrifkan Padankan
Perihalkan Namakan Lakarkan
Kenal pasti Nyatakan Tuliskan
Labelkan Lukiskan Senaraikan

ii. Kefahaman

Menterjemahkan bahan atau idea daripada satu bentuk ke bentuk lain, mentafsir bahan atau idea dan merangkakan trend masa depan Ubahkan Anggarkan Buat Inferens
Anggarkan Terangkan Hubungkaitkan
Tukarkan Cirikan Banding bezakan
Berikan contoh Tambahkan Kelaskan
Ukur Ramalkan Sukat

iii. Aplikasi

Menggunakan bahan atau idea dalam situasi yang baru dan konkrit Kirakan Hitungkan Tunjuk cara
Jelaskan dengan contoh Ubahsuai

iv. Analisis

Mengasingkan maklumat kepada komponen-komponennya untuk memahami struktur organisasinya dan perhubungan antara komponen

Cerakinkan Jelaskan melalui contoh Pilih
Huraikan Kawal pemboleh ubah Asingkan
Kesimpulan Susun mengikut keutamaan
Buat urutan Buat andaian
Selesaikan masalah

v. Sintesis

Menggabungkan komponen-komponen untuk menghasilkan keseluruhan idea atau struktur yang baru dan kreatif Gabungkan Buat eksperimen Rancangkan
Ringkaskan Buat analogi Binakan
Rangkakan Buat reka cipta Konsepsikan
Buat gambaran mental Reka bentukkan

vi. Penilaian

Menilai idea/bahan/maklumat/kaedah berdasarkan kriteria yang spesifik untuk tujuan tertentu Taksirkan Wajarkan Buat keputusan
Tafsirkan Sokong Kritik
Kesan kecondongan

6.0 PROSEDUR PEMBINAAN JSU

Dalam pembinaan JPU, anda perlu membuat empat langkah, iaitu (1) mengkaji sukatan pelajaran, (2) menganalisis objektif pengajaran, (3) menentukan jenis soalan, dan (4) menentukan bilangan soalan.
Continue Reading...

Rabu, 1 Februari 2012

PERKARA-PERKARA YANG MEMBATALKAN DUA KALIMAH SYAHADAH



FASAL PERTAMA: PENGENALAN

Barangsiapa yang berlaku kepadanya perkara yang membatalkan Dua Kalimah Syahadah, maka dia telah murtad iaitu keluar dari agama Islam atau putus dari ikatan agama Islam. Murtad termasuk dosa kufur yang merupakan dosa paling besar di sisi Allah taala dan tidak ada lagi dosa yang lebih besar dari dosa kufur.
Bagi menyelesaikan masalah murtad tidak dapat tidak kita mesti mengetahui hukum-hukum yang berkaitan dengan murtad. Oleh itu, seseorang yang mukallaf itu wajib mempelajari perkara yang boleh membatalkan Dua Kalimah Syahadah supaya dia tidak terjerumus ke dalam kancah murtad dan supaya dapat mengislamkan kembali mereka yang telah murtad. Ini kerana orang yang tidak mengetahui sesuatu kemudaratan tidak dapat menyelamatkan dirinya dan orang lain dari kemudaratan tersebut.
FASAL KEDUA: SEBAB-SEBAB MURTAD
Tiga perkara yang boleh menyebabkan seseorang itu murtad seperti yang telah diterangkan oleh para ulama di kalangan empat mazhab, iaitu: kufur i’tiqadiyy, kufur fi’liyy, kufur qawliyy.
Kufur I’tiqadiyy
Kufur i’tiqadiyy ialah kekufuran dengan sebab niat, pegangan, kepercayaan atau keyakinan dalam hati. Antara contoh kufur i’tiqadiyy ialah:
  1. Ragu-ragu atau syak terhadap Allah dan rasul-Nya atau al-Quran atau hari Akhirat atau syurga atau neraka atau ganjaran-Nya atau balasan-Nya atau hukum-Nya atau syiar-Nya atau perkara yang telah diijmakkan (disepakati) oleh para ulama mujtahidin.
  2. Kepercayaan bahawa alam ini azali pada jisim dan unsurnya atau unsurnya sahaja.
  3. Menafikan salah satu sifat dari sifat-sifat Allah yang telah diijmakkan seperti sifat Maha Mengetahui segalanya.
  4. Mensifatkan Allah dengan suatu sifat yang tidak layak bagi-Nya seperti mensifatkan-Nya mempunyai jasad, bertempat, berakal dan seumpamanya.
  5. Menghalalkan perkara yang diketahui di kalangan umat Islam sebagai halal dengan ijmak seperti zina, liwat, membunuh, mencuri, merompak, menyamun, arak, pergaulan bebas, pendedahan aurat dan seumpamanya.
  6. Mengharamkan perkara yang diketahui di kalangan umat Islam sebagai halal dengan ijmak seperti berjual beli, nikah dan seumpamanya.
  7. Menafikan kefarduan pada perkara yang diketahui di kalangan umat Islam sebagai wajib atau fardu hukumnya dengan ijmak seperti solat fardu atau salah satu daripada rukun-rukun solat (seperti sujud), zakat, puasa, haji, wuduk, menutup aurat dan seumpamanya.
  8. Berniat atau berazam mahu menganut agama bukan Islam pada masa akan datang.
Perhatian: Lintasan hati tidak menyebabkan murtad kerana ia muncul di dalam hati tanpa kehendak seseorang.
Kufur Fi’liyy
Kufur fi’liyy ialah kekufuran dengan sebab perbuatan yang zahir meskipun tanpa niat untuk murtad, atau tanpa pegangan kufur di dalam hati. Antara contoh kufur fi’liyy ialah:
  1. Sujud kepada berhala atau matahari atau bulan atau sesuatu selain Allah yang dianggap sebagai tuhan.
  2. Sujud kepada manusia dengan tujuan menyembahnya.
  3. Perbuatan menghina hukum atau syiar Islam seperti melempar mushaf al-Quran, kitab atau helaian yang mengandungi ayat al-Quran, hadis atau hukum-hukum agama Islam ke tempat yang jijik atau kotor.
  4. Memakai syiar agama bukan Islam dengan tujuan berbangga atau kagum dengan agama bukan Islam tersebut seperti memakai rantai salib dan baju yang ada salib.
Kufur Qawliyy
Kufur qawliyy ialah kekufuran dengan sebab perkataan kufur yang diugkap dengan sengaja meskipun tanpa niat untuk murtad, atau tanpa pegangan kufur di dalam hati. Antara contoh kufur qawliyy ialah:
  1. Memanggil seorang muslim yang lain: “Wahai kafir!” atau “Wahai Yahudi!” atau “Wahai Kristian!” atau “Wahai orang yang tiada agama” dengan maksud agama Islam yang dianut oleh muslim itu sebagai agama yang bersifat kufur, atau sebagai agama Yahudi, atau sebagai agama Kristian, atau sebagai bukan agama. Jika panggilan tersebut dengan maksud untuk menyamakan perbuatan jahat muslim tersebut dengan perbuatan orang kafir, atau orang Yahudi, atau orang Kristian, atau orang yang tiada agama, maka itu bukan suatu kekufuran.
  2. Menghina, memperlekeh, merendah-rendah atau mempersenda-sendakan salah satu daripada sifat-sifat, nama-nama Allah, janji-Nya, ancaman-Nya, kitab-Nya, nabi-nabi-Nya, para malaikat-Nya, hukum-hukum-Nya, syiar-Nya dan seumpamanya.
  3. Menafikan salah satu daripada sifat-sifat wajib bagi Allah dan para nabi-Nya.
  4. Mensifatkan dengan sifat mustahil kepada Allah dan para nabi-Nya.
Perhatian: Lima keadaan perkataan kufur dikecualikan dari dihukumkan sebagai murtad, iaitu;
  1. Keadaan tersasul: iaitu perkataan yang terluncur di lidah tanpa sengaja atau tanpa kehendak.
  2. Keadaan hilang akal atau belum baligh. Namun, wajib ke atas kita menegah atau melarang orang yang hilang akal atau kanak-kanak tersebut dari mengungkapkan perkataan kufur.
  3. Keadaan dipaksa dengan ugutan bunuh atau seumpama bunuh, iaitu dengan syarat; orang yang dipaksa itu masih lagi beriman di dalam hatinya, tidak meredai dan tidak beriktikad dengan perkataan kufur tersebut.
  4. Keadaan menghikayatkan atau menceritakan perkataan kufur sama ada memulakan dengan menyatakan pihak yang berkata dengan perkataan kufur tersebut iaitu sebelum perkataan kufur, contohnya: “Golongan Wahhabi berkata: “Allah duduk di atas Arasy”, atau dengan menyatakan pihak yang berkata tersebut selepas perkataan kufur iaitu dengan berniat terlebih dahulu sebelum bercerita bahawa akan menyatakan pihak yang berkata itu selepas perkataan kufur tersebut, contohnya: “[Berniat bahawa akan menyatakan bahawa puak Wahhabi mengungkapkan perkataan kufur ini] Allah duduk di atas Arasy”. Kata puak Wahhabi”.
  5. Keadaan seseorang yang mentakwil dengan ijtihadnya dalam memahami hukum syarak dalam perkara yang bukan qat’iyy. Contohnya golongan yang enggan membayar zakat pada zaman pemerintahan Sayyidina Abu Bakr dengan takwilan mereka bahawa zakat wajib dibayar pada zaman hayat Nabi Muhammad sallaLlahu ^alayhi wa-sallam kerana doa keampunan baginda buat mereka ketika membayar zakat adalah suatu ketenangan dan penyucian dari dosa buat mereka berdasarkan ayat 103 surah al-Tawbah.
Kaedah: Setiap pegangan, perbuatan atau perkataan yang menunjukkan penghinaan terhadap Allah, kitab-kitab-Nya, para nabi-Nya, para malaikat-Nya, hukum-Nya, syiar-Nya, janji-Nya atau ancaman-Nya adalah suatu kekufuran.

Continue Reading...
 

Blogroll

Anda Pengunjung ke

View My Stats

Site Info

Text

Misri Hj Bohari Blog Copyright © 2009 WoodMag is Designed by Ipietoon for Free Blogger Template